Followlah blog ini sekiranya berbaloi untuk difollow. Sebarang ulasan adalah amat amat amat amat diharapkan.

Ketaqwaan dan Kesabaran Nabi Yusuf (Part2)

Sambungan bahagian 1.

NABI YUSUF MENAFSIRKAN MIMPI DAN DIBEBASKAN
Q:12:41-53

Nabi yusuf diminta oleh dua pemuda di dalam penjara untuk menafsirkan mimpi kerana mereka melihat baginda adalah orang yang baik.

Tatkala baginda menafsirkan mimpi raja, pastinya raja berasa hairan bagaimana seorang pemuda yang baik dimasukkan ke dalam penjara. Apakah kisah baginda sehingga dipenjarakan.

Kemudian nabi yusuf menyuruh mereka bertanya kepada isteri menteri (aziz) dan wanita-wanita yang melukakan tangan mereka. Lantas kesemua wanita itu mengaku bersalah dan menyucikan nabi yusuf iaitu dengan membebaskan baginda daripada tuduhan dan tipu daya mereka dahulunya.

Rasulullah telah memuji kesabaran nabi yusuf yang dapat dilihat melalui peristiwa ini.

Dari ibnu abbas radhiallahu 'anhuma, rasulullah bersabda, "Aku merasa kagum dengan kesabaran saudaraku yusuf dan dengan kemuliaannya. Allah mengampuninya. Ketika diutuskan utusan untuk meminta pandangan berkenaan mimpi, sekiranya aku, tidak aku lakukan sehingga aku dikeluarkan. Aku merasa kagum dengan kesabarannya dan kemuliaannya. Allah mengampuninya. Ketika diberi keluar, dia tidak keluar sehingga mereka membebaskannya (membersihkannya dari tuduhan). Seandainya aku, nescaya aku bersegera ke pintu (untuk keluar)." -Dikeluarkan oleh attabrani.

*     *     *     *     *

NABI YUSUF DIBEBASKAN
Q:12:54-57

7-Memuji diri sendiri dan meminta kuasa.

Pada asalnya seorang muslim tidak boleh memuji diri sendiri.
"...maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa." [Q:53:32]

Dan muslim tidak meminta kuasa untuk dirinya sendiri.
"Peminta kuasa tidak diberi kuasa."

Pengecualian syar'ie: Boleh meminta kuasa untuk merealisasikan maslahat muslimin, menghalang mudharat atau mendirikan keadilan. Dibenarkan jika dia meyakini dirinya mampu melakukan sedemikian.

Meminta kuasa untuk mendapatkan redha Allah. Bukan untuk disayangi raja atau cintakan dunia.

*     *     *     *     *

PERTEMUAN PERTAMA
Q:12:58-68

Sebaik sahaja abang-abang nabi yusuf datang untuk meminta bekalan makanan ketika musim kemarau, baginda mengenali mereka sedangkan mereka tidak mengenali mereka. Pasti ada yang tertanya mengapa.

Kenapa? Kerana ketika nabi yusuf dicampak ke dalam perigi, baginda masih kecil. Dan mereka tidak bertemu bukan hanya setahun dua bahkan belasan atau mungkin puluhan tahun. Pastinya seorang kanak-kanak itu berubah wajahnya sedikit sebanyak bila meningkat dewasa.

Kemudian nabi yusuf meminta abang-abangnya membawa adik mereka yang sebapa jika mahu diberi lagi bekalan makanan. Lantas berlakulah perbualan di antara abang-abangnya dengan nabi ya'qub setelah mereka pulang dari mesir.

"...dan sesungguhnya kami akan menjaganya dengan sebaik-baiknya"." [Q:12:63]

Bagaimana mungkin nabi ya'qub mampu mempercayainya setelah apa yang berlaku kepada nabi yusuf dahulunya. Sehinggalah ayahnya berkata,

"Bapa mereka berkata "Aku tidak sekali-kali akan melepaskan dia (Bunyamin) pergi bersama-sama kamu, sehingga kamu memberi kepadaku satu perjanjian yang teguh (bersumpah) dengan nama Allah, bahawa kamu akan membawanya kembali kepadaku dengan selamat, kecuali jika kamu semua dikepong dan dikalahkan oleh musuh". Maka ketika mereka memberikan perjanjian yang teguh (bersumpah) kepadanya, berkatalah ia: "Allah jualah yang menjadi Saksi dan Pengawas atas apa yang kita semua katakan itu."" [Q:12:66]

*     *     *     *     *

"Dan ia berkata lagi: "Wahai anak-anakku! Janganlah kamu masuk (ke bandar Mesir) dari sebuah pintu sahaja, tetapi masuklah dari beberapa buah pintu yang berlainan. Dan aku (dengan nasihatku ini), tidak dapat menyelamatkan kamu dari sesuatu takdir yang telah ditetapkan oleh Allah. Kuasa menetapkan sesuatu (sebab dan musabab) itu hanya tertentu bagi Allah. KepadaNyalah aku berserah diri, dan kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri"." [Q:12:67]

8-Al-akhzu bil asbab dan tawakkal kepada Allah untuk mencapai matlamat.

Al-akhzu bil asbab: Berusaha (berbuat sesuatu) untuk mencapai matlamat.

Setiap daie mesti berusaha dengan sesungguh-sungguhnya supaya menjadi asbab tercapainya matlamat dalam berdakwah. TETAPI dalam masa yang sama hendaklah berpegang bahawa kejayaan sesuatu dakwah itu adalah kerana Allah semata-mata.

Seperti dalam kisah nabi yusuf, nabi ya'qub menyuruh anak-anaknya masuk ke mesir melalui pintu yang berbeza yakni berpecah.

Pertama: Ada yang berpendapat kerana nabi ya'qub bimbang anak-anaknya terkena penyakit ain disebabkan kekacakan wajah mereka.

Maka rasulullah mengajar untuk melindungi diri daripada penyakit ain dengan membaca,
أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّةِ مِن كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ وَكُلِّ عَيْنٍ لَّامَّةٍ.

*Untuk bacakan pada orang lain, terutama anak-anak, tukar kalimah (a-'ūzu) kepada u-'īzuka (sorang anak lelaki) atau u-'īzuki (sorang anak perempuan). Sebagaimana yang dilakukan oleh rasulullah terhadap hasan dan husin dengan mengucapkan u-'īzukuma.

*أُعيذكَ / أُعيذكِ/ أُعيذكُمَا/ أُعيذكُم/ أُعيذكُنَّ
Manakala orang lain yang melihat atau merasa kagum dengan sesuatu, hendaklah mengucapkan, "tabārakallahu ahsanul khāliqīn". Atau paling kurang pun māsyaAllah.
تبارك الله أحسن الخالقين.
ما شاء الله.

Sangat penting untuk semua orang mengamalkannya. Lagi-lagi yang mempunyai bayi atau anak kecil. Dan orang lain pun, bila tengok apa-apa yang comel, cantik, menakjubkan, hebat, dll belajarlah untuk ingat Allah. Serahkan pujian kepada Allah.

Kerana semuanya Allah yang jadikan indah. Dan kerana 'ain boleh membunuh. Bukan sekadar memberi kesan biasa, bahkan sehingga tahap boleh terbunuh.

Kalau dekat negara arab, lidah mereka dibiasakan dengan memuji Allah bila melihat sesuatu yang indah. Saya perasan selalu mereka mendoakan yousef bila bertemu. Tak lekang dari memuji Allah.
Ada satu kes, sehingga ibu bapa seorang bayi terpaksa menulis kalimah masyaAllah pada dahi anaknya supaya tiap kali orang lain melihat, mereka akan membaca secara tak langsung.

Kedua: Ada yang berpendapat kerana dibimbangi orang lain merasa curiga apabila melihat 10 orang lelaki masuk ke mesir secara sekaligus. Bimbang disalah anggap sebagai perompak dan sebagainya.

Namun adalah lebih baik untuk tidak berfikir kenapa nabi ya'qub memerintahkan demikian. Jika mereka mengikut pesanan nabi ya'qub sekalipun, seandainya Allah berkehendak untuk menyebabkan sesuatu terjadi, maka ia tetap berlaku. Begitulah al-akhzu bil asbab. Dan tidak lain tidak bukan, ini hanyalah hajat nabi ya'qub dan tiada siapa yang mengetahui hakikat sebenar kenapa baginda memesan begitu. Wallahu a'lam.

Apa pun, pengajaran yang boleh diambil, bak kata mufti menk, tak payah cerita semua benda di khalayak ramai (terutama medan sosial) tentang kelebihan, nikmat, kebahagiaan kita. Bimbang mata-mata yang memandang tidak memuji Allah atau hasad kepada kita lantas terkena penyakit ain. Nauzubillah.

*     *     *     *     *

PERTEMUAN KEDUA
Q:12:69-87

Ketika adiknya dibawa masuk berjumpa dengan nabi yusuf, baginda memberitahu bahawa dirinya adalah yusuf. Maka janganlah berduka cita atas apa yang telah abang-abangnya lakukan.

Baginda meletakkan bejana minuman raja ke dalam kenderaan saudaranya. Berlakulah perbualan di antara mereka.

Orang-orang menteri bertanya kepada abang-abang nabi yusuf, apakah balasan bagi pencuri? Ini kerana mereka adalah anak kepada nabi, sudah tentu mereka mengetahui syariat nabi ya'qub. Orang-orang menteri ingin pencuri itu dihukum menggunakan syariat nabi ya'qub dan bukan undang-undang mesir.

Mereka mengatakan bahawa sesiapa yang didapati mencuri, dialah yang akan diambil oleh raja untuk dijadikan hamba, kerana mereka yakin mustahil ada dari kalangan mereka yang mencuri. Baginda mendengar segala perbualan itu dan berasa tenang kerana apa yang dirancangnya berjaya.

Setelah memeriksa, ternyata ia dijumpai di dalam kenderaan adik mereka.

"Mereka berkata: "Kalau dia mencuri, maka (tidaklah pelik), kerana sesungguhnya saudara kandungnya pernah juga mencuri dahulu. (Mendengar kata-kata yang menyinggung itu) maka Yusuf pun menyembunyikan perasaannya, dan tidak menyatakannya kepada mereka, sambil berkata (dalam hati): "Kamulah yang lebih buruk keadaannya; dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu katakan itu"." [Q:12:77]

Setelah itu mereka merayu agar adik mereka dilepaskan apabila memikirkan ayah mereka dan janji yang telah mereka ikat dengan nama Allah. Namun rundingan tidak berjaya. Akhirnya abang sulung mereka tinggal di mesir sehingga ayahnya menetapkan hukuman buatnya.

Apabila berita itu sampai ke pengetahuan nabi ya'qub, bertambahlah kesedihan baginda sehingga anak-anaknya merasa tidak senang, lantas dijawab oleh baginda,

"(Nabi Yaakub) menjawab: "Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah dan aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya." [Q:12:86]

9-Keperluan sabar untuk seorang daie.

Nabi ya'qub tidak mengadu kesedihan dirinya kecuali hanya kepada Allah. Dalam kesedihannya itu, baginda sangat yakin bahawa Allah akan mengeluarkannya dari kesulitan melalui arah yang tidak disangka-sangkanya.

Tidak harus untuk seorang daie mencapai matlamat dengan segera kerana semuanya terletak pada ketentuan Allah. Segala apa yang terjadi, kita hendaklah meletakkan tsiqah sepenuhnya kepada Allah.
Diharuskan untuk mengadu kepada Allah segalanya. Tidak diharuskan untuk mengadu kepada selain dari Allah, kerana hanya Allah yang mampu mengangkat mudharat itu.

Tidaklah menjadi syarat untuk menerima balasan, ganjaran atau hasil dengan segera. Sebagaimana yang kita lihat dari kisah nabi yusuf dan ayahnya yang mana mereka terpisah puluhan tahun, namun mereka terus tsiqah dengan perancangan Allah.

"Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya, dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir"." [Q:12:87]

10-Jangan putus asa dari rahmat Allah.

Ketahuilah bahawa tiada kesenangan melainkan apa yang Allah permudahkan baginya. Dia yang menjadikan kesusahan menjadi mudah. Dia yang menyingkap mudharat dari hambaNya.

Janganlah putus pengharapan dan cita-cita dari Allah.

Baginda mengetahui bahawa nabi yusuf masih hidup kerana mimpi nabi yusuf belum terealisasi lagi. Cuma ayahnya tidak tahu, di mana nabi yusuf, bagaimana keadaannya, bila akan berjumpa lagi.

*     *     *     *     *

PERTEMUAN KETIGA
Q:12:88-98

Kali ketiga abang-abang nabi yusuf datang dan ingin menukar barang dengan makanan, baginda berkata, "Yusuf berkata: "Tahukah kamu (betapa buruknya) apa yang kamu telah lakukan kepada Yusuf dan adiknya, semasa kamu masih jahil (tentang buruknya perbuatan yang demikian)?"" [Q:12:89]

Maka pastilah yang berkata itu yusuf adik mereka kerana tiada siapa yang mengetahui kejadian tersebut melainkan yusuf dan abang-abangnya.

Katanya lagi, Allah telah mengurniakan nikmatNya
-dengan mengakhiri ujian yang menimpa mereka,
-dengan mengumpulkan mereka setelah terpisah,
-dengan kemuliaan selepas kehinaan,
-dengan kasih sayang selepas kebencian.

Sesungguhnya siapa yang bertaqwa dalam setiap keadaan dan bersabar di atas apa jua dugaan atau maksiat, Allah tidak akan menghilangkan pahala mereka kerana ketaqwaan dan kesabaran adalah sifat bagi orang yang berbuat kebaikan. Oleh itu formula untuk berjaya adalah dengan taqwa, sabar dan ihsan.

Abang-abangnya pun mengaku bersalah namun nabi yusuf menjawab,

"Yusuf berkata: "Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu), semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani." [Q:12:92]

11-Memberi kemaafan ketika berkemampuan untuk membalasnya.

Nabi yusuf memaafkan mereka sedangkan baginda mempunyai kuasa dan berkemampuan, manakala mereka berada di posisi yang hina dan lemah.

Baginda tidak mencela abang-abangnya bahkan nabi yusuf menambah kemuliaan mereka dengan mendoakan agar mereka diberi keampunan.

Para daie hendaklah memahaminya dan memaafkan di antara satu sama lain.

Kemudian baginda menyuruh mereka membawa bajunya untuk diletakkan pada muka ayahnya supaya dikembalikan penglihatan. Dan menyuruh mereka membawa keseluruhan keluarganya.

Baginda ingin menggembirakan ayahnya dengan mengkhabarkan bahawa dirinya masih hidup.

Ketika mereka dalam perjalanan menuju kepada ayah mereka, nabi ya'qub berkata,
"..."Sesungguhnya aku ada terbau akan bau Yusuf. Jika kamu tidak menyangka aku sudah nyanyuk (tentulah kamu akan percaya)"." [Q:12:94]

"Mereka berkata: "Demi Allah! Sesungguhnya ayah masih berada dalam keadaan tidak siumanmu yang lama"." [Q:12:95]

Hal ini kerana saat nabi ya'qub mengatakan tercium bau nabi yusuf, abang-abangnya masih belum sampai ke rumah. Baru melepasi sempadan mesir. Atas sebab itulah keluarganya menganggap nabi ya'qub tidak siuman.

"Maka sebaik-baik sahaja datang pembawa khabar berita yang mengembirakan itu, dia pun meletakkan baju Yusuf pada muka Nabi Yaakub, lalu menjadilah ia celik kembali seperti sediakala. Nabi Yaakub berkata: "Bukankah aku telah katakan kepada kamu, sesungguhnya aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah akan apa yang kamu tidak mengetahuinya?"" [Q:12:96]

Lantas abang-abang nabi yusuf memohon keampunan atas kesalahan mereka. Nabi ya'qub menjawab, "Aku akan (saufa) memohon keampunan dari Tuhanku." Sedikit berbeza dengan cara nabi yusuf menjawab sebelum ini iaitu, "Semoga Allah mengampunkan dosa kalian."

Dapat dilihat nabi yusuf bersegera memaafkan mereka. Maka di sini dapat dilihat dua peribadi; ayah yang terluka, dan anak yang sangat cepat memaafkan.

Namun bukanlah bermakna nabi ya'qub tidak memaafkan. Cuma mengambil suatu tempoh. Kerana baginda menggunakan kalimah 'saufa' yang bermaksud akan (tetapi untuk tempoh yang lama).
Perkara ini tidaklah mencacatkan kenabian baginda, ia sekadar sifat atau sisi manusiawi sahaja.

*     *     *     *     *

PERTEMUAN TERAKHIR DAN MIMPI TEREALISASI
Q:12:99-101

Maka berangkatlah nabi ya'qub dan seluruh keluarganya ke mesir untuk bertemu nabi yusuf. Inilah penghijrahan pertama bani israil, dari palestin ke mesir.

"Dan ia dudukkan kedua ibu bapanya (bersama-samanya) di atas kerusi kebesaran. Dan setelah itu mereka semuanya tunduk memberi hormat kepada Yusuf. Dan (pada saat itu) berkatalah Yusuf: "Wahai ayahku! Inilah dia tafsiran mimpiku dahulu. Sesungguhnya Allah telah menjadikan mimpiku itu benar. Dan sesungguhnya Ia telah melimpahkan kebaikan kepadaku ketika Ia mengeluarkan daku dari penjara; dan Ia membawa kamu ke mari dari dosa sesudah Syaitan (dengan hasutannya) merosakkan perhubungan antaraku dengan saudara-saudaraku. Sesungguhnya Tuhanku lemah-lembut tadbirNya bagi apa yang dikehendakiNya; sesungguhnya Dia lah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." [Q:12:100]

Sujud di sini bukanlah sujud perhambaan tetapi sujud sebagai memuliakan nabi yusuf. Dan mereka hanya sujud kerana Allah yang memerintahkan mereka berbuat demikian. Sujud penghormatan ini adalah sebagai tanda baginda lebih mulia di sisi Allah berbanding mereka.

Baginda teringat akan mimpinya dahulu dan apa yang diperkatakan ayahnya. Kini terjadi, ibunyalah matahari, ayahnya bulan, adik-beradiknya 11 bintang, semuanya sujud kepadanya.

Nabi yusuf memuji Allah yang memberinya nikmat dengan mengeluarkannya dari penjara. Baginda tidak menyebut tentang dimasukkan ke dalam perigi kerana baginda telah pun memaafkan abang-abangnya.

""Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan daku sebahagian dari kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarku sebahagian dari ilmu tafsiran mimpi. Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi Engkau Penguasa dan Pelindungku di dunia dan di akhirat; sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh"." [Q:12:101]

12-Mengharapkan kematian.

Yang dimaksudkan dengan doa baginda bukanlah bermaksud nabi yusuf meminta akan kematian itu, tetapi meminta agar apabila tiba saat kematiannya, matikanlah dalam Islam.

Janganlah dipinta akan kematian. Tetapi mintalah agar terus tsabat atas Islam dan mati dalam Islam.

Namun sekiranya fitnah yang dialami terlalu dahsyat, dibolehkan untuk mengharapkan kematian demi menyelamatkan keislamannya, seperti pada zaman firaun dan dajal.

Kisah yusuf adalah bukti tanda kenabian nabi muhammad. Bagaimana mungkin seorang yang tidak tahu membaca, boleh menceritakan kisah terdahulu dengan begitu terperinci kalau bukan kerana wahyu. Mereka berdua juga bertemu pada malam isra' mikraj di langit ketiga.

Tamat.


Semoga beroleh manfaat^^
Like if you like, do comment too~

Ketaqwaan dan Kesabaran Nabi Yusuf (Part1)

Semua ni based on apa yang saya baca atau dengar dari dr sulaiman duqur, dr abdul karim zaidan, syeikh solah, nouman ali khan dan mufti menk. Dr naufal sampai sekarang belum menyempat nak baca. Tulisan dr fadhl abas dan syed qutb pun tak habis lagi baca semua.

PENGENALAN
Yusuf merupakan salah seorang daripada anak nabi ya'qub. Nama yusuf adalah kata nama a'jam, bukan bahasa arab. Yusuf juga merupakan seorang nabi. Dan yang rajih, adik-beradiknya yang lagi 11 orang itu bukan nabi.


Yusuf seorang yang mulia dan datang juga dari keturunan yang mulia. Rasulullah bersabda, "Al-karim (yang mulia) ibnu al-karim ibni al-karim ibni al-karim; yusuf bin ya'qub bin ishaq bin ibrahim."

Surah yusuf adalah surah makiyah. Diturunkan ketika fasa kesulitan, iaitu antara waktu pemboikotan kaum muslimin sehingga bai'atul aqabah pertama dan kedua.

Dalam fasa itu, bertambah penyeksaan quraisy terhadap rasulullah dan muslimin, bertambah mereka memerangi dakwah. Pelbagai tribulasi yang dihadapi kaum muslimin sehingga ada yang bertanya: "Adakah jalan keluar dari ujian ini? Dan adakah akan hilang kesedihan, kesusahan ini? Dan bila datangnya kesenangan itu?"

Maka Allah menurunkan beberapa surah pada fatrah itu, yang berterusan beberapa tahun untuk memberi kekuatan maknawi kepada muslimin.

Antara surah yang diturunkan ketika itu adalah surah al-an'am, yunus, hud, ibrahim, al-hijr dan yusuf.

*     *     *     *     *

MIMPI

1-Merahsiakan atau menyembunyikan sesuatu yang boleh membawa darurat kepada diri sendiri. Sebagai langkah berjaga-jaga.


Q:12:4: (Ingatlah peristiwa) ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya: Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku.

Q:12:5: Bapanya berkata: Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia.

Nabi ya'qub melarang nabi yusuf daripada menceritakan mimpi baginda kepada abang-abangnya kerana bimbang akan tipu daya mereka. Syaitan merupakan musuh kepada manusia, jadi dia boleh melakukan tipu daya terhadap nabi yusuf walaupun mereka itu adalah abang-abangnya.

Kita hendaklah menyembunyikan sesuatu perkara atau kelebihan yang mana dibimbangi akan mendatangkan mudharat bila diketahui orang lain walaupun keluarga atau kawan mahupun anggota jemaah.

Dari sudut parenting, kalau kita ada strong bond dengan anak-anak, mereka akan sentiasa refer kepada kita, selalu berbincang dan minta pendapat, berkongsi rahsia, telus. Begitulah juga antara daie dan mad'u. It's all about trust.

Kalau tetiba ada satu saat anak buat sesuatu keputusan tanpa merujuk kepada kita, dan kita tak suka dengan keputusan itu, check balik hubungan kita dengan si anak.

*     *     *     *     *

PERANCANGAN ABANG-ABANG YUSUF
Q:12:7-18


2-Hasad membawa kepada terputusnya silaturrahim.
Hasad adalah punca kepada berlakunya dosa-dosa besar. Ceritanya adalah abang-abang nabi yusuf merasakan bapa mereka menyayangi nabi yusuf lebih daripada yang lain. Sedangkan kasih seorang bapa itu sama sahaja. Hanya kerana saat itu nabi yusuf dan adiknya lebih kecil dari mereka. Normal lah ambil berat anak kecil lebih dari yang dah besar.

Dan kerana kita mungkin tak ingat pun bagaimana sayangnya ayah kita kepada kita saat kita kecil, bagaimana dia ambil berat lebih je tentang kita. Padahal saat kita kecil juga, abang atau kakak kita melihat seolahnya kita lebih disayangi dari mereka. Dan begitulah rantaian yang seterusnya.

Dalam kisah ini, hasad telah membawa mereka melakukan dosa-dosa besar seperti berdusta, memutuskan silaturrahim, dan menjadi anak yang derhaka dalam usaha merealisasikan cita-cita mereka untuk menjauhkan yusuf dari ayahnya.

Oleh itu hendaklah para duat mengingatkan manusia supaya menjauhi hasad dengki kerana ia membahayakan anggota jemaah dan orang yang dihasad.

Dari sini juga, boleh extract nilai kejujuran untuk diterap dalam diri seorang anak. Anak, dia akan belajar untuk menipu jika reaction ibu bapa tidak baik apabila mereka jujur.

Contoh, anak pecahkan tingkap dan dia mengaku dia yang buat. Lantas parents marah teruk-teruk, siap nak pukul bagai. Kemudian, lain kali, dia cuba jawab, "Anak jiran yang pecahkan tingkap." Respon parents, "Takpelah, nak buat macam mana. Benda dah jadi." Cool je. Fahamlah si anak bahawa berkata jujur tak membawa apa-apa benefit melainkan sekadar membahayakan diri sendiri.

In one way, nampak juga pentingnya amalan syuro dan keputusan syuro mesti disepakati semua selepas selesai syuro. Dah banyak sangat dah contoh even orang yang melakukan perancangan tak baik, bersyuro.

Bagaimana nabi ya'qub tau anak-anak dia menipu?
-Darah binatang dan manusia berbeza.
-Tiada sebarang kesan koyakan pada pakaian nabi yusuf.
-Nabi ya'qub tau mimpi nabi yusuf akan ter realisasi satu masa nanti. Jadi sudah pasti nabi yusuf masih hidup.


3-Ujian dan balasan untuk orang-orang yang sabar.
Ujian Allah kepada hambaNya adalah suatu sunnatullah. Dengan apa yang Dia kehendaki, bila Dia kehendaki, dan bagaimana Dia kehendaki.

Memang manusia tak lari dari ujian kerana hidup adalah untuk menguji manusia siapa yanh lebih baik amalannya. Cuma kadar ujian berbeza dan cara juga berbeza. Even kesenangan juga boleh menjadi suatu ujian kepada kita tanpa kita sedari.

Allah menguji nabi ya'qub dengan kehilangan yusuf, kemudian dengan kehilangan adik yusuf dan kehilangan penglihatan.

Allah menguji nabi yusuf dengan dicampak ke dalam perigi, kemudian diambil dan dijual menjadi hamba (sedangkan dia pada asalnya manusia yang merdeka), diuji dengan isteri aziz dan dimasukkan ke dalam penjara. Cuba bayang dia yang masih budak kena campak ke dalama perigi yang gelap, yang tak tau apa nasib mendatang, yang tiba-tiba hilang keluarga etc, bagaimana emosi seorang anak itu.

Duat akan menghadapi ujian lebih banyak dari yang lainnya. Akan tetapi, akan sentiasa ada balasan dan ganjaran bagi orang yang bertaqwa dan bersabar. Kesabaran yang cantik itu adalah kesan dari taqwa seseorang terhadap Allah.

*     *     *     *     *

CUBAAN GODAAN OLEH ISTERI AZIZ
Q:12:19-29


Selepas dijumpai dan dikeluarkan dari perigi, yusuf dijual dengan harga yang murah. Akhirnya dibeli oleh aziz (menteri)

4-Yusuf adalah qudwah yang baik dalam menjaga kesucian diri.

Ujian kedua nabi yusuf.

Allah yang telah memelihara nabi yusuf sepanjang di rumah aziz. Kemudian Allah memberi ilmu dan hikmah ketika nabi yusuf matang...menjadi pemuda.

Ketika itulah, dia diuji dengan ujian yang besar. Yang mana, ujian sebegini lah ramai manusia tersungkur, sedikit sahaja yang berjaya melawan godaan syahwat dan teguh menjaga kesucian.

Godaan yang disebut dalam ayat ini, bukanlah godaan yang pertama kalinya. Bahkan ini adalah godaan yang terakhir. Seperti yang kita ketahui, dia tinggal di rumah tersebut sejak dia masih remaja. Sehingga dia menjadi pemuda. Bermakna sekitar 10-15 tahun tempoh dia menetap di situ.

Sebelum peristiwa ini, nabi yusuf sudah digoda dengan ajakan halus/masih belum secara terang-terangan. Namun, dia tidak menyahut ajakan-ajakan tersebut.

Kemudian barulah isteri al-aziz menggoda secara terang-terang. Dengan menutup semua pintu. Dan berkata: هيت لك.
هيت لك: ke mari lah.
Aku sudah bersedia untuk kamu. Atau gauli lah aku, jimak lah denganku.


Isteri al-aziz buat sampai je tahap itu kerana godaan-godaan sebelum ini tidak diendahkan oleh yusuf.
Maka nabi yusuf segera kembali kepada Allah, memohon perlindungandan pertolongan dariNya. Tidak ada yang mampu menyelamatkannya selain dari Allah. Dia bersangka baik pada Allah, lalu Allah memeliharanya.

"...sesungguhnya Tuhanku telah memuliharaku dengan sebaik-baiknya..." jadi, kena terima kebaikan Allah dengan rasa syukur, bukan dengan melakukan maksiat.

Kenapa nabi yusuf tak menyahut ajakan isteri al-aziz?

Kerana keimanan yang 'azim.


Kalaulah tiada burhan (kenyataan) dari Tuhannya, nescaya yusuf juga akan berkeinginan kepada perempuan itu.

Burhan Tuhannya adalah kekuatan iman dalam hatinya. Dan kekuatan muraqabah terhadap Allah. Meyakini bahawa Allah melihatnya di mana2 dia berada. Jadi bagaimana dia boleh menyahut ajakan syahwat itu, sedangkan dalam hatinya ada iman. Bagaimana dia tergamak melakukan perkara keji sedangkan Allah melihatnya.

Yang rajih dari ayat ولقد همت به وهم بها لولا أن رءا برهان ربه.

-ولقد همت به
Mengkhabarkan keinginan isteri al-aziz terhadap yusuf dengan keinginan yang keji. Dengan 'serangan' ke atasnya. Yakni memaksa yusuf untuk menggaulinya.


-وهم بها لولا أن رءا برهان ربه
Huruf wau di sini bukan wau atof tetapi wau isti'naf. Jadi ayat ini adalah ayat yang baru dan merupakan ayat syarat.


Yang membawa maksud, kalaulah yusuf tidak melihat burhan Tuhannya nescaya dia berkeinginan kepada perempuan itu dengan keinginan yang keji dan menyahut ajakan itu.

Jadi: nabi yusuf tak berkeinginan langsung kepada perempuan itu. Dia tidak cenderong kepadanya, apatah lagi ingin menggaulinya walau sedikit. Bahkan dia memohon perlindungan daripada Allah, maksum dan suci. Yang memaksumkannya adalah Allah, yang telah mendatangkan burhan dalam dirinya dan menguatkan hatinya dengan iman.

Allah lah yang memalingkan yusuf dari kejahatan dan perkara keji kerana keikhlasannya.

Kerana kesucian itu adalah kemestian sebagai tanda nubuwah. Allah ingin mengutuskannya sebagai nabi, maka mestilah memeliharanya dari segala keburukan dan kekejian hatta sebelum diutuskan.

Lihatlah bagaimana dia mampu menjaga dirinya. Bagaimana dia enggan memenuhi kehendak itu sedangkan...
-dia seorang pemuda
-yang bujang
-tinggal di negara asing
-hamba di rumah tuannya
-isteri aziz yang berkehendak
-there is nobody at home except two of them
-isteri aziz dah ambil 'langkah pencegahan' iaitu tutup SEMUA pintu, bukan sekadar satu pintu.


Boleh je kalau yusuf nak buat maksiat. But no, dia tak pilih jalan itu.

Saya jadi terfikirlah kan, berapa lama je dia ditarbiyah nabi ya'qub, yet kesan keimanan tu sangat besar.

Why umat harini tidak takut terjerumus dalam kancah maksiat. Bahkan ada yang tak tahu pun perbuatan keji itu salah. Moga terus ada tangan-tangan yang berterusan mengislah masyarakat.

*     *     *     *     *

NABI YUSUF DIMASUKKAN KE DALAM PENJARA

Q:12:33: Yusuf berkata: "Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya".

5-Syiar seorang muslim adalah assijnu ahabbu ilayya (penjara lebih aku sukai untuk aku) dari apa yang kamu seru aku kepadanya (maksiat).

Menjadi syiar untuk setiap para daie dan setiap muslim, jika di hadapannya terdapat 2 pilihan;
1-Kesenangan kehidupan dan keseronokan dunia tetapi melalui jalan maksiat,
ATAU

2-Menolak semua itu dan menghadapi kesusahan hidup, kesempitan dunia, diberi kesulitan melalui pelbagai jenis.

Maka pilihlah untuk mentaati Allah.

Ugutan penjara itu adalah untuk membolak balikkan sehingga yang benar dianggap salah dan yang salah dianggap benar.

"Jangan teragak-agak untuk memilih mentaati Allah, berpeganglah dengan syarat-syarat dakwah dan tuntutan iman dan menyeru dengan lisan dan hati." -Dr Abdul Karim Zaidan

*     *     *     *     *

NABI YUSUF KETIKA DI DALAM PENJARA
Q:12:36-40


6-Seorang daie itu menyeru kepada Allah dalam setiap situasi.
Dakwah adalah wajib syarie. Merupakan tugas utama rasul. Disebabkan Allah mahu memuliakan muslim, Dia beri tugas rasul kepada manusia juga iaitu berdakwah.
Dakwah bukanlah hanya pada waktu yang tertentu.
Mereka tidak disibukkan dengan sesuatu sehingga meninggalkan dakwah. Walaupun sekiranya mereka ditimpa kesempitan.

Rasulullah juga ketika berhijrah ke Madinah, telah bertemu dengan Buraidah bin Hasib Al-Aslami yang sedang dalam perjalanan bersama kaumnya. Nabi menyeru mereka kepada Islam lantas mereka menyahut seruan itu.

Sedangkan kita sendiri tahu bagaimana kisah penghijrahan rasulullah itu bukanlah suatu perjalanan yang mudah. Namun hal itu tidak menyebabkan baginda lalai dari berdakwah.

Begitu jugalah kisah nabi yusuf. Tatkala baginda dipenjarakan bersama dua orang pemuda yang lainnya, baginda mengajarkan kepada mereka kalimah tauhid.

Beginilah selayaknya yang dilakukan oleh seorang daie yang sodiq (yang benar) dalam dakwahnya,
-yang mana dia sibuk dengannya,
-tidak berfikir selain dari dakwah,
-tidak bergerak selain ke arahnya,
-tidak kedekut untuk meluangkan waktu dan usaha untuk dakwah,
-tidak lalai dari berdakwah hatta ketika waktu yang paling sulit, situasi yang paling sempit, mahupun ketika diri sendiri sedang ditimpa musibah.


Dalam erti kata lain, dakwah adalah yang pertama.

Lihat sahaja bagaimana tokoh-tokoh muslim yang dipenjarakan masih tetap teguh berdakwah. Masih saling memperingatkan teman-teman mereka di dalam penjara untuk menjaga amal.
Lantas apa lagi alasan yang kita ingin berikan?

Ps.Konteks dakwah sangat luas. Jangan sempitkan ia sehingga tidak mahu berbuat apa-apa.


Semoga beroleh manfaat^^
Like if you like, do comment too~

Harakah Dakwah Nabi Sulaiman

Fokus perkongsian kali ini adalah berkenaan ciri-ciri kemenangan sesuatu gerakan yang boleh diambil dari kisah nabi sulaiman dalam surah annaml.

1)Q:27:15
"Dan sesungguhnya kami telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman; dan mereka berdua bersyukur dengan berkata: "Segala puji tertentu bagi Allah yang dengan limpah kurniaNya memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hambaNya yang beriman"."


Sesungguhnya nikmat ilmu adalah nikmat yang tersangat agung kerana ia merupakan bukti bahawa Allah menghendaki kebaikan ke atas seseorang itu.

"Siapa yang Allah kehendaki ke atasnya kebaikan, difaqihkan dalam agama."

Sedarlah bahawa hajat seorang daie kepada ilmu adalah lebih banyak daripada hajat orang lain kepadanya. Hal ini kerana para duat menyeru manusia kepada Allah, kepada Islam.

Ilmu yang dituntut juga adalah semua ilmu yang bermanfaat, yang akhirnya membawa kita kepada Allah, membawa kita memahami tujuan hidup. Apa jua ilmu yang mampu beri manfaat kepada manusia seluruhnya, dakwah dan muslimin walaupun ia adalah ilmu keduniaan. Dengan syarat niat betul.

Jadi apa yang kita kena buat bila dapat nikmat yang agung ini?

Bersyukur, beramal, sampaikan kepada orang lain dan minta Allah tambahkan ilmu kita.


Kalau kan, kita dah dapat peluang untuk belajar tapi kita mensia-siakannya...tak ulangkaji pelajaran, tak berlumba-lumba mencari ilmu, tak mengamalkan, tak berusaha nak membaca, apa alasan yang kita nak bagi pada Allah?

Sedangkan salah satu pembinaan manusia adalah persediaan pembentukan pemikiran based on wahyu pertama (surah iqra') bak kata Dr Sulaiman Duqur dalam bukunya, alquran wa mu'adalat sina'atil insan.

*     *     *     *     *

2)Q:27:19
"Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa dengan berkata:" Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh"."


Menunjukkan rasa syukur kepada Allah atas segala kenikmatan.

Nikmat Allah bagi saaaaangat banyak. Tapi kita selalu tak bersyukur dan bila ditarik satu nikmat je pun, dah merungut merintih seolah Allah telah bersikap kejam terhadap kita. Astaghfirullah.

Dalam masa yang sama, nikmat yang sangat banyak itu juga merupakan ujian kepada kita. Adakah kita mengingati Allah dan menzahirkan rasa syukur kepada Dia?

Dan doa yang disebut nabi sulaiman ini telah merangkumi segala kebaikan untuk dunia dan kebaikan akhirat.

*     *     *     *     *

IBRAH DARI SEEKOR SEMUT

3)Q:27:18
"(Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke "Waadin-Naml", berkatalah seekor semut: "Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari"."


Lihatlah bagaimana semut yang kecil itu, yang bukan sesiapa, tidak punyai sebarang jawatan, bersikap proaktif untuk menyelamatkan masyarakat semut.

Dia boleh je nak selamatkan diri dia seekor. Tapi tak. Dia bersegera melaksanakan memberi peringatan sambil memberi penjelasan atas amaran dia.

Dia merasakan bahawa adalah kewajipan ke atas dirinya untuk menjaga keselamatan mereka, mempertahankan mereka dari perkara buruk (yakni dipijak), sebagaimana dia menjaga keselamatan dirinya.

Tak perlulah kita nak tunggu kita pegang sesuatu jawatan etc baru kita nak bertindak. Baru kita nak menyeru umat manusia. Nak tunggu kena push baru nak bergerak.

Even kalau kita rasa kita ni nobody, sedarlah kenapa kita diciptakan. Then, you will feel guilty if you don't contribute anything to islam, to dakwah.

Duat as anggota jemaah patut merasai dan mencotohi sikap proaktif si semut. Merasai  sepertimana semut tu rasa terhadap kaum dia.

Seorang muslim itu tak patut hanya memikirkan soal diri sendiri semata kerana itu adalah dari sifat ananiyah (keakuan/pentingkan diri).

"Barangsiapa yang tidak mengambil berat urusan kaum muslimin, maka dia bukan dari kalangan mereka."

Dan duat manusia yang lebih banyak tuntutan untuk mengambil berat urusan orang muslim. Membawa mereka kepada kebaikan, kepada maslahah dan menghalang segala keburukan menimpa mereka.

Lantas bagaimana dengan daie yang tidak mengambil berat isu semasa, tidak masuk dengan masyarakat dan lesu?

*     *     *     *     *

IBRAH DARI NABI SULAIMAN SEBAGAI SEORANG PEMIMPIN

4)Q:27:20-21
20: Dan (setelah itu) Nabi Sulaiman memeriksa kumpulan burung (yang turut serta dalam tenteranya) lalu berkata: "Mengapa aku tidak melihat burung hudhud? Adakah ia dari mereka yang tidak hadir?".


21: "Demi sesungguhnya! Aku akan menyeksanya dengan seksa yang seberat-beratnya, atau aku akan menyembelihnya, kecuali ia membawa kepadaku alasan yang terang nyata (yang membuktikan sebab-sebab ia tidak hadir)".

Dari sini jelas kelihatan bagaimana seorang pemimpin mengambil berat tentang rakyat. Bagaimana nabi sulaiman punyai jumlah tentera yang sangat besar, dia boleh perasan ketiadaan seekor burung yang sangat kecil nak dibandingkan dengan tenteranya yang besar. Burung hudhud je kot.

"Setiap dari kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab atas orang yang dipimpinnya."

Lihat sahaja bagaimana khalifah umar menerajui pemerintahannya. Bagaimana dia seorang yang sangat particular terhadap rakyatnya yang bukan sekadar manusia. Bahkan binatang juga menjadi concern dia.

Kita dalam satu kelompok atau gerakan atau persatuan yang kecil pun tak boleh nak kenal semua orang. Tak boleh nak cakna pasal semua orang.

Keduanya, kalau perasan uslub yang digunakan nabi sulaiman, dia tanya kan, aku yang tak nampak hudhud, atau memang dia tak hadir?

Sambungannya lagi nabi sulaiman kata, akan aku hukum dia atau akan aku sembelih dia melainkan dia datang dengan bukti atau penjelasan yang nyata.

Dari sini nampak point bahawa ciri-ciri kemenangan bagi sesuatu gerakan adalah disiplin waktu.

Bila kata berkumpul waktu sekian sekian, berkumpul lah. Bila kata kena hadir wasilah tarbiyah sekian sekian, hadirlah kecuali benar-benar ada uzur syar'ie. Begitulah ciri-ciri untuk dapatkan kemenangan dari Allah.

Tak patut bagi seorang pemimpin menjatuhkan hukuman sebelum mendengar penjelasan. Dari sini juga jelas kelihatan bagaimana keseriusan dalam berjuang.

Scary kot nak kena sembelih kalau kita jadi hudhud. Tapi tapi...nabi sulaiman as pemimpin yang tegas itu sangat rasional dan rakyatnya untuk menjadi seorang yang disiplin pastinya sudah sangat terlatih. Rakyatnya yang bersedia menerima apa pun pastinya sudah dilatih dengan sangat rapi. Sehingga ketaatan mereka juga sangat tiptop.

Kalau kita lah kan, bila agaknya baru sampai tahap tu? Kalau masih tak pandai naak menguruskan masa dengan baik, masih tak pandai nak susun prioriti, masih nak banyak bermain.

Lihat sahaja saudara kita di gaza, di syria. Tentera alqassam punya rules sangat ketat. Sangat menjaga disiplin, sangat menjaga hubungan dengan Allah dan manusia...itu pun Allah belum kurniakan kemenangan yang total. Kerana kita. Kerana kita yang tak sedar kita as a part of muslim yang sama-sama menatijahkan sesuatu kemenangan.

Kita tengah belajar pun tak serius macam mana kat medan yang sebenar?

*     *     *     *     *

IBRAH DARI BURUNG HUDHUD

5)Q:27:22-26
22: Burung hudhud itu tidak lama ghaibnya selepas itu, lalu datang sambil berkata (kepada Nabi Sulaiman): "Aku dapat mengetahui secara meliputi akan perkara yang engkau tidak cukup mengetahuinya, dan aku datang kepadamu dari negeri Saba' dengan membawa khabar berita yang diyakini kebenarannya."


23: "Sesungguhnya aku dapati seorang perempuan memerintah mereka dan ia telah diberikan kepadanya (serba sedikit) dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan) dan ia pula mempunyai singgahsana yang besar."

24: "Aku dapati raja perempuan itu dan kaumnya sujud kepada matahari dengan meninggalkan ibadat menyembah Allah, dan Syaitan pula memperelokkan pada pandangan mereka perbuatan (syirik) mereka, lalu menghalangi mereka dari jalan (yang benar); oleh itu mereka tidak beroleh petunjuk."

25: "(Mereka dihalangi oleh Syaitan) supaya mereka tidak sujud menyembah Allah yang mengeluarkan benda yang tersembunyi di langit dan di bumi, dan yang mengetahui apa yang kamu rahsiakan serta apa yang kamu zahirkan."

26: "Allah! - Tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang besar."

Dari laporan hudhud kepada nabi sulaiman, kita dapat lihat wujudnya himmah aliyah (semangat yang tinggi) dalam diri dia. Menggambarkan bagaimana perasaan seorang mukmin apabila melihat kemungkaran.

Sesungguhnya semua makhluk ciptaan Allah mentauhidkan Allah dan menjadi suatu fitrah untuk mengesakan Allah. Beginilah juga hudhud yang membenci perbuatan syirik kepada Allah.

Semua makhluk, kecuali kebanyakan manusia berpaling dari fitrah, dari jalan yang benar 
Kadang-kadang rasa semua makhluk zaman nabi sulaiman ni semua berakal. Actions diorang nampak lebih taat dari manusia zaman sekarang. Even seekor semut yang nobody tu pun buat dakwah. Sedangkan dia bukan lah ratu or pegang apa-apa jawatan. Just semut biasa.

Dari laporan hudhud ini juga, kita dapat ambil, bahawa ke atas seorang daie untuk melaporkan kepada pemimpin sesuatu yang penting untuk jemaah dan pemimpin tahu. Jika dia tidak mampu untuk berbuat apa-apa atau tidak mampu take action sorang-sorang.

Hudhud menceritakan keadaan kerajaan saba' dan kaumnya yang sesat. Jika dia tidak melaporkan, jatuh tanggungjawab itu pada hudhud. Kerana dia tahu bahawa perkara ini adalah mungkar yang perlu nabi sulaiman tahu untuk menghapuskan kemungkaran itu.

*     *     *     *     *

IBRAH DARI RATU SABA' DAN PARA PEMBESARNYA

6)Q:27:29-35

Ratu saba' bersyura dengan para pembesarnya, apa yang perlu dilakukan setelah mendapat surat dari nabi sulaiman.

Syura: Berbincang, berbahas dan meneliti pandangan-pandangan dalam semua urusan terutama yang melibatkan kepentingan umat. Pandangan-pandangan itu diteliti dan ditapis oleh para pemikir, pakar, ulama' dan ahli-ahli mesyuarat bagi mendapatkan keputusan yang paling sahih dan betul.

Syura merupakan salah satu instrumen pengambilan keputusan yang paling penting dalam sesebuah organisasi.

Jika mekanisma pengambilan keputusan sentiasa berjalan dengan baik, maka organisasi tersebut akan mempunyai kesepaduan dan pertahanan yang tinggi terhadap segala kegoncangan.

Syura juga adalah satu cara yang disyariatkan oleh Allah swt untuk membuat keputusan di semua peringkat, sama ada peringkat keluarga, negara dan serantau.

Para ahli tafsir, fuqaha' dan hukama' telah banyak menekankan kepentingan syura dalam karya karya mereka kerana kewujudannya menunjukkan fenomena yang sahih dan dalil ketamadunan sesebuah masyarakat. Sebaliknya tanpa syura, ia merupakan tanda tersebarnya kezaliman.

Khalifah Umar Al Khattab berkata, "Tidak ada kebaikan pada urusan yang diputuskan tanpa syura".

Once dah dapat keputusan syura semua kena sami'na wa ato'na. Sebelum keluar keputusan, ketika sedang bersyura, suarakanlah semuanya.

Bukanlah adab syura, selepas mendapat keputusan, bercakap-cakap belakang atau memberontak. Kerana jika ingin mengubah sesuatu keputusan, perlu dilakukan melalui syura. Jadi kalau masa bersyura, syura betul-betul.

Ada 2 jenis syura based on sirah rasulullah. Syura mulzim dan mu'lim.
*boleh search sendiri buat masa ni*


*     *     *     *     *

DAKWAH NABI SULAIMAN TERHADAP RATU SABA'

7)Maudhu' dakwah >>> Menyeru manusia kepada Allah.

Dakwah kepada Allah adalah tugas kesemua rasulNya iaitu menyeru menuju kepada keimanan kepadaNya, tuhan yang selayaknya disembah dan hanya kepada Allah tempat kita beribadah.

Allah juga menyuruh nabi muhammad mewar-warkan kepada manusia jalannya adalah dakwah kepada Allah. Dan itu jugalah jalan bagi pengikutnya yang mukmin.

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain."" [Q:12:108]

Dari kewajipan keimanan: mendirikan dakwah kepada Allah.

8)Q:27:28
28: "Pergilah bawa suratku ini, serta campakkanlah kepada mereka, kemudian berundurlah dari mereka; dalam pada itu perhatikanlah apa tindak balas mereka".


Ayat ini menunjukkan boleh berdakwah kepada Allah melalui segala wasilah. Wasilah yang disyariatkan; melalui pertuturan, penulisan, pengutusan surat, pengutusan utusan/rasul kepada siapa yang hendak didakwahnya itu.

Sebagaimana nabi sulaiman mengutuskan surat kepada ratu saba', Rasulullah juga pernah mengutuskan surat kepada raja kisra dan qaisar.

Daie mesti kontemporari dengan waqi' semasa.

Banyak banyak media sosial yang kita ada, kita manfaatkan tak sebaiknya untuk dakwah?
-Kita share tak apa-apa tentang islam?
-Kita berakhlak tak dengan akhlak seorang muslim di media sosial?
-Apa hadaf kita sebenarnya?


9)Q:27:38-40
38: Nabi Sulaiman berkata pula (kepada golongan bijak pandainya): "Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsananya sebelum mereka datang mengadapku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?"


39: Berkatalah Ifrit dari golongan jin: "Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah".

40: Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: "Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!" Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia: "Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah".

Apa yang boleh kita peroleh dari perbuatan nabi sulaiman ini, bahawasanya para duat hendaklah menggunakan segala wasilah yang ada untuk membantu membawa orang lain kepada keimanan kepada Allah.

Sebagaimana yang kita tahu, duat tidak mempunyai mukjizat sebagaimana para anbiya'. Maka yang boleh dilakukan adalah menunjukkan akhlak yang baik, akhlak yang tertinggi, terus tetap atas jalan dakwah yang akhirnya mampu menunjukkan kepada orang yang diseru akan kebenaran duat itu.

Dalam kisah ini, orang yang berilmu itu yang mengangkat singgahsana ratu saba', lebih pantas dari ifrit. Hal ini juga menunjukkan kepada kita bahawa betapa hebatnya orang yang berilmu dan soleh.

Ulama' bukan sekadar orang yang berilmu. Bahkan disebut bahawa ulama' adalah orang yang paling takut kepada Allah (selain nabi). Bila dia orang yang paling takut kepada Allah, sudah tentu akhlaknya juga sangat tip top.

Tamat.

Rujukan: Almustafadah minal qososil quran liddakwah wadduah, tulisan Dr Abd Karim Zaidan.


Semoga beroleh manfaat^^
Like if you like, do comment too~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright © 2008-2017 Aisyah Ameelah ^_^: October 2017
Design by a.a.ghariib