Followlah blog ini sekiranya berbaloi untuk difollow. Sebarang ulasan adalah amat amat amat amat diharapkan.

Adab Menuntut Ilmu (2)

21061435H
Bismillah,
Assalamualaikum W.B.T.

2-Bertaqwa Kepada Allah

"Apa itu taqwa?" tanya Umar al-Khattab kepada Ubai bin Ka’ab.

"Pernahkah kamu meyusuri jalan yang penuh berduri?" balas Ubai dengan suatu pertanyaan yang menduga.

"Pernah." jawab Umar.

"Apa yang kamu lakukan?" pintas Ubai.

"Aku angkat sedikit pakaianku, dan melangkah dengan hati-hati," jawab Umar lagi.

"Itulah taqwa." simpul Ubai bin Ka’ab terhadap soalan Umar al-Khattab tentang taqwa.


Allah telah berfirman: "Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam." [Q:3:102]

Para ulama' adalah manusia yang paling mengenal Allah dan paling bertaqwa kepadaNya, Allah berfirman:
"Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya, hanyalah ulama'. Sesungguhnya Allah Maha perkasa lagi Maha Pengampun." [Q:35:28]

Dalam menuntut ilmu, jangan lupa soal taqwa. Orang yang 'alim tak semestinya muttaqi (bertaqwa), dan orang yang muttaqi tak semestinya orang yang 'alim.

Dengan taqwa, seorang 'alim akan bertambah ilmunya dan dengan ilmu orang yang bertaqwa akan bertambah ketaqwaannya, Allah berfirman:
"Dan bertaqwalah kepada Allah; Allah mengajarmu; dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." [Q:2:282]

Allah berfirman:
"Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan ke luar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya." [Q:65:2&3]

Rezeki tidak semestinya duit. Ilmu juga merupakan rezeki dan rezeki yang paling agung adalah ilmu yang bermanfaat.

Taqwa adalah himpunan seluruh kebaikan dan wasiat Allah kepada umat terdahulu dan kemudian, Allah berfirman:
"Dan kepunyaan Allah-lah apa yang di langit dan yang di bumi, dan sungguh Kami telah memerintahkan kepada orang-orang yang diberi kitab sebelum kamu dan (juga) kepada kamu; bertaqwalah kepada Allah. Tetapi jika kamu kafir, maka (ketahuilah), sesungguhnya apa yang di langit dan apa yang di bumi hanyalah kepunyaan Allah dan Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji. "[Q:4:131]

Ada Tuhan kisah kalau kamu kufur? Tak. Tuhan tak kisah pun. Apa yang ada di langit, apa yang ada di bumi, semua milik Allah. Kamu nak kufur, kamu nak beriman, tak ada kesan pun kepadaNya. Allah Maha Kaya dan Maha Terpuji.

Allah berfirman dalam surah Al-Anfal :
"Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan kepadamu furqaan dan menghapuskan segala kesalahan-kesalahanmu dan mengampuni (dosa-dosa) mu. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar." [Q:8:29]

Dia akan memberikan kepadamu furqaan iaitu memberikan kepadamu sesuatu yang boleh membezakan antara yang haq dan batil, antara yang sihat dan sakit, antara yang bermanfaat dan sia-sia, semua itu hanya ada dengan adanya cahaya dan timbangan ilmu, pelita dan ukuran ilmu. Jadi ilmu itu adalah buah dari buah-buah taqwa, taqwa merupakan jalan untuk memperoleh ilmu, dan ilmu itu mengangkat darjat pemiliknya ke darjat ma'rifatullah yang paling tinggi serta takut kepada Allah. Oleh kerana itu diwariskan dari Imam Syafi'i Rahimahullah bahawa beliau berkata:
"Aku adukan kepada Waki' tentang buruknya hafalanku, maka dia membimbingku agar meninggalkan maksiat.
Dan memberitahuku bahawasanya ilmu itu adalah cahaya dan cahaya Allah tidak akan diberikan kepada pelaku maksiat."

Perkara yang pertama sekali masuk dalam bentuk-bentuk taqwa adalah menegakkan syiar-syiar Islam dan hukum-hukum Islam yang zahir. Antaranya adalah menjaga solat lima waktu di masjid, menyebarkan salam kepada orang-orang tertentu dan kepada kaum muslimin secara umum, amar ma'ruf nahi mungkar, menampakkan sunnah, memadamkan bid'ah, dan menampakkan hukum-hukum Islam lainnya agar dia dijadikan ikutan dan contoh serta terjaga kehormatannya, tidak dilecehkan dan tidak memunculkan persangkaan buruk.

Termasuk juga dalam bentuk ketaqwaan adalah menjaga syariat-syariat yang dianjurkan baik dalam bentuk ucapan lisan atau perbuatan anggota badan: Antaranya adalah membaca Al-Qur'an Al-Karim dengan tafakkur dan tadabbur; memperbanyakkan zikir dengan hati dan lisan; sentiasa berdoa dengan penuh ketundukan disertai dengan keikhlasan dan kejujuran; perhatian terhadap ibadah-ibadah sunnah sama ada solat, puasa, sedekah dan haji (umrah) ke Baitullah; serta berselawat kepada Nabi s.a.w, dan ibadah-ibadah lainnya yang memiliki keutamaan-keutamaan sama ada dalam bentuk perkataan ataupun perbuatan yang dengannya diharapkan semakin bertambahnya ilmu.


Perkongsian akhi:
Tertera di notice board kuliah syariah:
(Terjemahan:)

"Para pelajar yang dihormati sekalian: Ketahuilah yang seluruh sijil kelulusan di dunia tiada maknanya kalau Rasulullah s.a.w. berlepas tangan darimu (Bak kata orang Melayu, tidak mengaku umat).

Sabda Baginda: "Barangsiapa yang menipu (dalam bermuamalah) maka bukanlah dari golongan kami."

Oh, minggu exam rupanya. Ya putting things in perspective. Bukti cinta Rasulullah. Bukti kita beriman dengan hari akhirat. Bukti kita benar mengikut baginda, dan kita tak akan menjual identiti sebagai umat baginda demi kepentingan duniawi!


Semoga beroleh manfaat^^
Like if you like, do comment too~

Adab Menuntut Ilmu (1)

20061435H
Bismillah,
Assalamualaikum W.B.T.

Lama tak post di sini. Hari tu janji nak mula balik berblogging dalam bulan 4 ni. Maka ini sedikit perkongsian daripada apa yang telah dipelajari dalam subjek ulum al-hadits. Mungkin semua ini perkara basic, dan ramai memandang enteng terhadapnya. Namun, ku kira semua ini amat penting untuk diamalkan.


1-Niat Ikhlas Kerana Allah

Menuntut ilmu merupakan ketaatan dan ibadah, sementara ikhlas hanya kerana Allah itu wajib ada pada seluruh bentuk ibadah dan ketaatan lainnya. Allah Ta'ala berfirman:
"Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar." [Q:98:5]

Inilah asas-asas agama Allah secara umumnya; ibadah kepada Allah yang Esa, mengikhlaskan ketaatan kepada Allah, menjauhi syirik, mendirikan solat dan menunaikan zakat itulah agama yang benar. Pendeknya, ciri agama yang benar ialah aqidah yang bersih dalam hati. Dan ibadah yang ikhlas kepada Allah adalah juru bahasa yang menterjemahkan aqidah itu. Menunaikan zakat ialah membelanjakan harta untuk jalan Allah. Oleh itu, barangsiapa yang menegakkan asas-asas ini bererti dia telah menegakkan iman. [Tafsir Fi Zhilal]

Ikhlas dalam menuntut ilmu dengan erti mengharapkan keredhaan Allah. Sekiranya penuntut ilmu mengharapkan sijil atau kebaikan yang bersifat materialistik semata-mata, maka dia tidak dikatakan sebagai seorang yang ikhlas dalam menuntut ilmu.

Dari Abi Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. telah bersabda: "Barangsiapa yang mempelajari ilmu yang seharusnya ia niatkan untuk mengharap wajah (redha) Allah, namun ia niatkan untuk mendapatkan perhiasan dunia dengan ilmu tersebut, maka dia tidak akan mendapatkan 'urf Jannah' pada hari kiamat." iaitu bau syurga.
[Dikeluarkan oleh Ahmad (2/338), Abu Daud (3664), Ibn Majah (252), Hakim menilainya sohih (1/160), Nawawi dalam Riyaadh as-Solihiin]

Nabi s.a.w. telah menggalakkan kepada kita supaya ikhlas kerana Allah, sebagaimana yang disebut dalam hadits Umar muttafaq 'alaih:
"Sesungguhnya setiap amalan adalah dengan niat dan sesungguhnya bagi setiap orang itu apa yang telah diniatkannya..."
[Sohih Bukhari (1), Sohih Muslim (1907)]

Para ulama' sangat mengambil berat tentang hadits ini dan menjadikannya sebagai pembuka dalam kitab mereka kerana hadits tersebut diperlukan secara umum dalam setiap perkara. Sebagaimana yang telah dikatakan oleh Imam al-Khattabi, perhatikan Imam Bukhari, beliau memulakan kitab sohihnya dengan hadits ini. Maka para ulama' berkata: "Ia ibarat sebagai muqaddimah, kerana Bukhari tidak menulis kitabnya dengan sebuah muqaddimah. Tujuannya untuk memberi peringatan kepada para penuntut ilmu agar memperbetulkan niat, mengharapkan keredhaan Allah. Metode ini diikuti oleh Imam Nawawi, Imam Baghawi dalam beberapa kitab mereka. Begitu juga ulama'-ulama lain.

Abdul Rahman bin Mahdi berkata: "Sekiranya saya menulis sebuah kitab tentu saya mulakan pada awal setiap kitab tersebut dengan hadits Umar ini."

Imam Ahmad berkata: "Tidak ada sesuatu yang mengungguli ilmu jika niatnya benar." Murid-muridnya bertanya: "Bagaimana orang yang benar niatnya itu?" Beliau berkata: "Dia berniat menghilangkan kejahilan dari dirinya dan orang lain."

Ibnu Jama'ah Al Kinani berkata setelah menjelaskan keutamaan ilmu:
"Ketahuilah, bahawa semua hal yang disebutkan dari keutamaan ilmu dan ulama', hanya terbatas bagi para ulama', yang mengamalkan ilmunya, yang sentiasa melakukan kebaikan serta bertaqwa, mereka yang hanya mengharapkan wajah Allah yang Mulia, dan mengharapkan dekat denganNya di syurga yang penuh kenikmatan. Bukan bagi orang yang menuntut ilmu dengan niat yang buruk dan hati yang busuk atau kerana tujuan-tujuan duniawi berupa kedudukan, harta atau banyaknya pengikut dan murid."

Abu Yusuf berkata:
"Jadikanlah Allah Ta'ala sebagai matlamat dalam menuntut ilmu kerana sesungguhnya aku tidak pernah duduk di dalam satu majlis yang aku berniat di dalamnya untuk tawadhu' kecuali aku tidak akan berdiri sehingga mengalahkan mereka, dan aku tidak pernah duduk di dalam satu majlis yang aku niatkan di dalamnya untuk mengalahkan mereka kecuali aku tidak berdiri sehingga aku terdedah dengan aib."


Kadangkala keikhlasan kita teruji. Contoh:

Situasi 1: Mula terdetik nak guna taktik agar markah tinggi

Ketika ustaz membuat kuiz secara online, pelbagai ragam pelajarnya.

P1: Rilek la, ustaz tak kata tak boleh tengok buku masa jawab. *gurau
AA: Ana, rilek sokmo (muka selalu bajet tenang). Hai, takkan nak tunggu ustaz kata gitu, nama pun kuiz.

P2: Masa menjawab 10 minit je? Aku dah lah tak habis lagi baca.
AA: Ha, nanti masa jawab, sibuk duk belek2 buku...tup tup...habis masa.
P2: Kau ni suka menakutkan aku bila aku nak buat jahat. *guraunya
AA: *tergelak. Aku kan. Sebab aku tak nak kau buat jahat.
P2: *tersengih


Situasi 2: Menyalahkan lecturer apabila ditegur

P1: Lecehlah lecturer ni, strict betul. Banyak dia komen assignment aku ni.
AA: Rileklah. Kau rasa kan, kalau dia tak tegur kesalahan kita sekarang, nanti mesti kita buat lagi walaupun dah sambung ke peringkat yang lebih tinggi. Kau lebih suka yang macam mana?
P1: Betul juga ek.
AA: Kita pandanglah dari sudut positif :)


Situasi 3: Study hanya sebelum test atau kuiz

Ustaz: Ok, kita buat test hari ni.
Pelajar: Ha? Mana boleh. Ustaz kata nak bagi slide dulu.
Ustaz: Jangan risau, soalan sahlan jiddan. Berapa orang pelajar perempuan?
AA: 20.
Pelajar: *kedengaran pelbagai bantahan*
"Aku nak teriak."
"Tak nak lah ustaz..."

Ana dan seorang lagi sahabat ana tersengih melihat gelagat mereka. Lantas sahabat ana berkata, "Apa yang korang tak nak, tak nak ni? Ustaz nak bagi nota lah."

Barulah masing-masing tersengih tersipu malu.

Ustaz kata time ustaz belajar kat Jordan, selalu ada ujian mengejut.

Pelajar: Aku nak jawab apa?
Dr.: Tenang, jawab sahaja apa yang kau mampu.


Manusia sering diuji. Keikhlasan kita sering diuji. Maka, hendaklah kita saling memperingatkan antara satu sama lain. Sahabat yang baik adalah sahabat yang menolak kita ke arah keimanan dan ketaqwaan.


Ada seorang ukhti pernah berkata,
Kita akan sedar
kita kehilangan sebuah keikhlasan dalam menimba ilmu,
...
Apabila kita lebih banyak membaca buku pada musim peperiksaan berbanding biasa.
Moga Allah kekalkan niat hati kita. 


Semoga beroleh manfaat^^
Like if you like, do comment too~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright © 2008-2017 Aisyah Ameelah ^_^: April 2014
Design by a.a.ghariib