Dipendekkan cerita, hidupnya menjadi sangat tertekan selepas memasuki alam pekerjaan sehingga menyebabkan dirinya menjadi seperti orang gila. Berjalan-jalan di tepi jalan dengan memakai baju sebelah badan sahaja. Pendek kata, kelakuannya, mirip orang gila.
Namun, apa yang menariknya, dia masih pandai melihat jam, "Oh, dah masuk waktu Asar." Pergi solat. Dia memang jaga sangat waktu solatnya. Tapi pada waktu-waktu lain, gayanya seperti orang gila. Pernah sampai ke satu tahap, dia ingin membunuh diri, terjun bangunan tapi dibatalkan kerana dah masuk waktu solat Zohor.
"Mungkin sebab aku jaga solat, Allah lindung aku."
Dia juga ada menyebut tentang hadis ini.
Imam Al-Baihaqi meriwayatkan, Nabi SAW bersabda, “Solat itu tiang agama, sesiapa yang meninggalkannya dia meruntuhkan agama.”
"Kalau jahat mana pun seseorang itu, tapi dia jaga solat, InsyaAllah, dia akan kembali ke pangkal jalan. Rumah, kalau tiang tak ada, runtuhlah. Tapi, kalau rumah runtuh, tiang masih ada, boleh didirikan semula." katanya lagi.
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman:” Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya?” Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain. ”-Riwayat at-Tirmidzi-
Huraian
- Seorang mukmin yang sebenar sudah tentu tidak akan mencuaikan ibadat sembahyang fardhu yang diwajibkan ke atasnya termasuklah menjaga waktu sembahyang, mematuhi tertib sembahyang dan sebagainya di samping mengerjakan ibadat sunat seperti sembahyang sunat, puasa sunat dan lain-lain setakat yang termampu olehnya.
- Sesungguhnya sembahyang itu jika dikerjakan dengan sempurna dapat mencegah seseorang daripada perbuatan keji dan mungkar sebaliknya orang yang mengerjakan ibadat sambil lewa tidak akan dapat merasai nikmat ketenangan dan ketakwaan yang sebenar kepada Allah S.W.T. Dia akan menganggap bahawa ibadat itu adalah suatu yang memberatkan. Lantaran itulah kita mendapati ramai orang yang tidak segan silu melakukan dosa dan maksiat sekalipun dia mengerjakan sembahyang, puasa dan sebagainya.
- Rebutlah segala peluang yang ada semasa hidup di dunia ini untuk mengerjakan kebaikan, hayatilah kata-kata (athar):” Berusahalah untuk duniamu seolah-olah engkau hidup selama-lamanya, dan beramallah untuk akhiratmu seolah-olah engkau akan mati esok hari.”
Semoga berada di bawah naungan hidayah Allah, InsyaAllah.
::3 Jamadil Akhir 1431H::
Semoga beroleh manfaat^^
0 responses:
Post a Comment