Followlah blog ini sekiranya berbaloi untuk difollow. Sebarang ulasan adalah amat amat amat amat diharapkan.

Tarbiyyah Diri dengan Sifat Redha

16011432H
Kenalkah anda 'Urwah ibn Zubair, anak kepada Asma' Abu Bakar dan Zubair Al Awwam. Beliau adalah seorang ulama ahli fiqh dan hadis di Madinah. Sejak kecil, beliau tinggal bersama Aishah, isteri kesayangan Rasulullah. Daripada Aishahlah 'Urwah menimba ilmu hadis, tafsir, fiqh, faraid dan lain-lain. Sehingga apabila beliau dewasa, beliau diakui sebagai salah seorang daripada 7 fuqaha' madinah (al-fuqaha' al-sab'ah) beliau meninggal pada tahun 94H.

Kisahnya bermula pada suatu hari, 'Urwah diundang oleh Khalifah Walid bin Abd Malik untuk ke istananya di Syam. Dalam perjalanan, 'Urwah merasakan sesuatu terjadi pada kakinya. Tidak lama kemudian, timbul sebuah bisul yang kemudiannya pecah menjadi luka. Tiba di Syam, Khalifah mendatangkan tabib untuk memeriksa luka tersebut dan mengesahkan luka itu adalah satu jangkitan yang jika tidak dihentikan dengan segera ia boleh merebak ke seluruh badan. Dan untuk menghentikan penyebaran luka tersebut ke seluruh badan, kaki 'Urwah perlu dipotong. 'Urwah bersetuju kakinya dipotong. Tabib menyarankan agar beliau meminum ubat bius agar tidak rasa sakit. Namun begitu, 'Urwah menolak kerana ingin terus berada dalam keadaan sedar supaya dapat mengingati ALLAH selalu walaupun terpaksa merasakan kesakitan yang teramat sangat. Akhirnya kaki 'Urwah dipotong dengan gergaji dan beliau sedikit pun tidak mengeluarkan suara kesakitan.

Dalam waktu yang sama, seorang anak 'Urwah yang mengikutinya ke Syam mengalami kemalangan. Seekor keldai telah menendangnya sehingga mati. Dan beliau tidak berkata apa-apa selepas mendengar berita sedih tersebut. Hanya sewaktu pulang ke Madinah beliau berkata, "Ya ALLAH, Engkau memberiku 7 orang anak. Jika Engkau mengambil 1 Engkau masih meninggalkan 6 lagi. Dan Engkau memberiku 4 anggota (2 tangan 2 kaki). Jika Egkau mengambil 1, Engkau masih meninggalkan 3 yang lain."

SUBHANALLAH!! Lihatlah bagaimana tabahnya beliau menerima ujian dari ALLAH. Tidak ada sekelumit pun rasa kesal di hatinya walaupun diuji dengan kecacatan dan kehilangan anak, apakah masih ada lagi tokoh seperti ini pada hari ini yang sentiasa berfikiran positif dan bersyukur dengan apa sahaja yang diberi ALLAH kepadanya. Ingatlah firman ALLAH,
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu. Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu. ALLAH mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."
(Al-Baqarah :216)

Dan kerana sifat rahmatnyalah ALLAH menentukan sesuatu yang terbaik untuk hambanya meskipun kadang-kadang ia terasa pahit. Memang diakui musibah sememangnya menyakitkan. Namun tidak ada yang lebih menyakitkan daripada musibah yang menimpa hati kita. Musibah walau sekecil mana pun, jika dihadapi dengan hati yang memberontak akan terasa besarnya musibah sehingga terlalu berat untuk ditanggung.
Seorang ulama' pernah berkata, "Seseorang yang tidak dapat bersikap redha dengan ketentuan ALLAH maka tidak ada penawar yang dapat mengubati kebodohannya." Sebaliknya musibah sebesar mana pun jika dihadapi dengan hati lapang, menerimannya setabah mungkin, tidak akan terasa beratnya musibah yang ditanggung. Apabila hati redha dengan ketentuan ALLAH maka mata hati dan fikiran akan dapat melihat jalan keluar daripada kesulitan yang dialaminya dengan jernih. Bahkan, jika sikap redha telah tertanam dalam hati, musibah apa pun yang dihadapi akan terasa manisnya. Abu Bakar bin Thahir pernah berkata: "Reda adalah mengusir kebencian dari dalam hati sehingga hanya kegembiraan dan kebahagiaan yang terdapat di dalamnya."


Semoga beroleh manfaat^^
Like if you like, do comment too~

0 responses:

Berkatalah dengan akal dan jiwa, kerana itu anugerah Pencipta dan ternyata natijahnya akan lebih bahagia. ^_^

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright © 2008-2017 Aisyah Ameelah ^_^: Tarbiyyah Diri dengan Sifat Redha
Design by a.a.ghariib