Sentiasalah melaraskan kedudukan hati kalian di landasan iman dan taqwa;
"Iaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram".(Surah AR-R'ad:28)
Hati, sesuatu yang unik kewujudannya. Mempunyai bentuk yang nyata..., juga memiliki rasa. Sebagai salah satu organ, juga sebagai salah satu sifat yang memenuhi perasaan. Bila dilihat sebagai organ, hati yang sehat akan mempengaruhi kesihatan jasad seluruhnya. Bila hati mengalami kecederaan atau diserang penyakit, kesihatan seluruh tubuh turut terganggu.
Bila disebut tentang hati yang bersaudara kembar dengan jiwa, ianya akan berkait rapat dengan perasaan. Hati yang baik dan sejahtera akan memberi perasaan tenteram dan membentuk watak mulia dan bersopan. Kedua-dua bentuk hati ini tetap punya kesan besar dalam kehidupan insan. Sehat hati, sihatlah jasad dan mulia peribadi.
Dalam memenuhi tanggungjawab berubudiyah serta melaksanakan peranan sebagai khalifah Allah, kita perlu memiliki hati tulus dan ikhlas. Tulus tanpa sebarang kepentingan peribadi. Ikhlas semata-mata mengharap redha Allah. Inilah gambaran hati yang sungguh indah. Kebaikannya akan membawa manfaat kepada hidup insan lain.
"Dalam Islam, sesuatu jawatan tidak boleh dipinta dan tidak boleh diperoleh melalui rasuah, tetapi apabila diberi sesuatu jawatan, terimalah dengan hati yang ikhlas semata-mata kerana Allah."
(Tariq Ziyad)
Hati yang indah ini juga bermaksud hati yang ikhlas. Tanda-tandanya dapat dilihat;
- Takutkan kemasyhuran.
Ibrahim bin Adham berkata: "Orang yang cintakan kemasyhuran tidak berlaku benar terhadap Allah". Fudhahil bin'Iyad berkata: "Jika kamu boleh membuatkan kamu tidak dikenali, maka lakukanlah. Apa salahnya jika kamu tidak dikenali? Apa salahnya jika kamu tidak dipuji? Apa salahnya jika kamu dikeji oleh manusia tetapi dipuji di sisi Allah?". Bisyr Al-Hafiy berkata: "Tidak akan merasakan manis kehidupan akhirat orang yang suka terkenal di tengah-tengah kalangan manusia".
- Sentiasa khuatir amalan diri tidak diterima Allah jika ada riyak menyusup tanpa disedari.
- Beramal diam-diam secara sembunyi.
- Tidak asyik mengharapkan pujian.
- Tidak kedekut memuji orang lain yang berhak dipuji.
- Melaksnakan tanggungjawab khalifah Allah tanpa mengharap pengiktirafan ketokohan juga sebarang jawatan kepimpinan.
- Mencari keredhaan Allah, bukan redha manusia.
- Redha dan marah kerana Allah semata-mata.
- Sabar di sepanjang jalan hidup.
- Merasa senang sekiranya ada orang lain yang turut bergabung keupayaan dalam melaksanakan amanah Allah.
- Menghindari ujub dan bangga diri.
- Terus-menerus menjalani proses pembersihan diri dan nafsu.
"Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada RabbMu dalam redha dan diredhai. Maka oleh itu masuklah dalam golongan hamba-hambaKu. Dan silalah masuk ke dalam syurgaKu"
Semoga beroleh manfaat^^
0 responses:
Post a Comment