Followlah blog ini sekiranya berbaloi untuk difollow. Sebarang ulasan adalah amat amat amat amat diharapkan.

Limit?

29021436H
Bismillah,
Assalamualaikum W.B.T.

Harap dapat manfaat dari kisah ini pertemuan di Cafe Kara pada petang tu, membuatkan Aiman tak senang duduk. Fikiran teringat akan seorang gadis yang berjaya membuat hati dia terbuai. It has been quite some time. Sejak form 1 lagi. Dan sekarang jumpa balik. Di universiti yang sama. Cuma berlainan course.

Dia seakan tak percaya. Perasaan yang sudah lama dipendam kini semakin hangat. Bak kata orang, kembali mendidih. Acap kali kedengaran istighfar meniti di bibirnya. Akhirnya, jari jemari menekan butang send. Audio 'You Are The One' by Raef.

Mata asyik tertumpu pada conversation whatsapp. Menunggu balasan dari si gadis.

Seminit..
Dua minit..
Tiga minit..
Empat minit..

bzzz. bzzz.

"apa ni?"

"hayati lirik tu and fahamkan. then tell me the answer. sudi ke tak."

"are you serious Aiman Arshad Shamsudin?"

"i am. aku dah lama suka ko."

"this is not the right way. i'm not ready."

"just tell me. that you love me the way i do or not. only then i'll be okay."

"aku pun suka ko."

Bibir kembali senyum sampai telinga. Sampai tak sedar Hafiz Aqil yang sedang murajaah AlQuran surah AnNisa memandang aneh.

"aku akan kahwini ko satu hari nanti."

"i'll wait for that day."

"just you wait."

Dan hari demi hari, semakin kerap whatsapp dan berkongsi segala suka dan duka. Segalanya indah. Indah semua apabila hati berbunga. Kan?

***

Sebulan berlalu.

Di satu sudut. Farah Aina sujud di sejadah. Lama.

Usai salam terakhir, dia menangis. Sambil meruap muka.

Malu. Malu dengan diri sendiri yang makin tak tahu malu.

Bermaksiat. Ye.. Zina. Zina hati je. "JE" takkan ubah apa apa.

Yang dosa tetap dosa.

"ala ramai je orang lain bercinta."

What is wrong is wrong even if everyone is doing it. Hati segera menangkis.

"tapi aku tak pernah langkau syariat!" Hati tetap membantah.

betulke...? Setiap hari whatsapp. Even bertanya khabar. Tapi perasaan halus tu sentiasa menjalar di hati. Sentiasa tersengih sorang2. Sampai kadang tertinggal date dengan Allah pukul 3 pagi semata nak melayan whatsapp dari si dia pada pukul 1, 2 pagi. Selalu cemburu bila si dia digosipkan dengan akhowat lain. Selalu stalk profile dan segala yang berkaitan dengan dia sampai kadang menangis tak henti sebab cemburu.

"aku..."

Dan masa tu, sejadah menjadi tempat air
mata meresap. Mata bengkak. Badan lemah. Hanya pada Allah boleh diluah. Hanya Allah yang mengerti saat itu. Betapa berdosanya diri. Tapi masih, diselubungi perasaan 'takut untuk sakit bila berjauhan' jadi..

"ya Allah.. tolong bukakan hati si dia untuk sedar akan hakikat ini juga.. tolong ya Allah.. kurangkan sakit yang aku rasa ni.."

Dan malam tu, di saat yang lain nyenyak dibuai mimpi.

Seorang gadis di sudut ruang kamar. Menangis dan menangis. Kerana dosa.

---

"Ai'e. syok whatsapp? dengan siapa?" tegur Hafiz. Memulakan bicara.

"oh takdelah. dengan member sekolah lama." jawab Aiman sambil sengih.

"aku bukan apa. tapi aku tengok kau ni dah lain." berhati hati Hafiz menuturkan.

"lain macam mana?" Aiman menegakkan badan dan bersila di atas kerusi.

"boleh kita bincang kejap?" ajak Hafiz.

"sure." iPhone diletak tepi dan di tukar mode silent. Something sounds fishy.

"tengah berbunga ke?" Hafiz senyum segaris. Sekadar bermanis.

"eh apa? what do you mean?" Aiman kerutkan dahi tanda tak faham.

"look. let me be honest. sebab ko member aku since first time kita masuk uni lagi. satu course. satu bilik. satu kelas. dan, satu agama. aku sayang ko."

"eh jap jap. ada apa hal ni?"

"aku tak larang ko nak bercinta. tapi biarlah cinta tu, kerana Allah. bukan kerana nafsu. selagi belum halal, selagi tu ada jarak. got me?"

"oh.. tapi aku takde la sampai bersayang semua. aku cuba limitkan pergaulan kami."

"hati?"

Diam. Gulp! Tersedak. Batuk dua kali untuk hilangkan payau di tekak.

"Ai'e.. even kita dah limitkan pergaulan. contact tanya khabar ke. sembang through phone sambil cakap benda baik ke. ingat, syaitan tu ada. bunyi kecik simple gitu je kan? tapi, little do we now. benda kecik macam tu lah, yang kita orang belajar agama ni. selalu rebah kena hentam dgn nafsu. are you with me?"

"proceed." Mata merah. Tahan airmata dari tumpah ke lantai. Muka ditunduk.

"aku tahu. ko sayang dia. tapi, jarak tu still exists. kalau masa ni ko enjoy kenal dan suka2 dengan dia. lepas tu. do you think and jamin yang lepas nikah pun boleh kenal lagi? save. save manja. save cinta. save kata2 manis. tu semua, lepas nikah. ko lelaki. dia tu perempuan. aku rasa si dia tu pun bukan calang2 orang. sebab aku tau, kau terpikat dengan agama dia. at first. perempuan ni umpama air mutlak. kenapa kita nak musta'malkan dia? kenapa nak sentuh hati dia awal2? kenapa nak cemarkan hati dia dengan kita yang masih belum sedia salam tok kadi ni?"

Tersentak. Diam. Air mata mula menuruni pipi.

Dan sekarang. Aiman Arshad Shamsudin sedang menangis. Sebab dosa.

Hafiz mendekat dan peluk bahu dengan tangan sebelah dan bisik.

"kita taktahu dengan siapa kita akan nikah. kita taktahu bila kita akan nikah. tapi kita kena ingat. kita jugak tak tahu, bila kita akan mati dan macam mana kita akan mati. persiapkan diri. mana tahu, diri kita ni akan bernikah dengan sakaratul maut dulu?"

"tapi.. aku sayang dia lillahitaala. aku pilih dia sebab agama dia."

"sayang tu bukan dengan kata2. jangan ucap sayang kerana Allah. jangan syok berkata kerana Allah sedangkan Allah jelik dan tak redha dengan apa yang kita lakukan. jangan syok sendiri. kadang2, kita kena berbalik pada fitrah. jiwa bertuhan. memang cinta itu fitrah juga. tapi, jangan sampai jadi fitnah."

"aku sayang dia Fiz.. sakit sangat perpisahan tu. aku tak sanggup hilang dia."

"yakin dengan Allah Ai'e. jangan cakap macam kau takde Tuhan. kita merancang. Tuhan yang tentukan."

"doakan aku berjodoh dengan dia.. Fizz." rintih Aiman dalam sendu.

"aku takkan doakan kau berjodoh dengan dia. tapi aku doakan kau berjodoh dengan orang yang terbaik untuk kau. Ai'e.. barangkali. kita suka akan sesuatu tapi sebenarnya ia tak baik untuk kita. dan barangkali. kita tak suka akan sesuatu tapi sesungguhnya ia baik untuk kita. janji Allah Ai'e. pegang betul2. perempuan yang baik untuk lelaki yang baik. strive untuk jadi lelaki yang baik."

"kalau aku takde jodoh dengan dia.."

"redha. aturan Allah tu the best. jangan pernah persoalkan kenapa dan kenapa. sebab sesungguhnya, semuanya berhikmah. husnudzhon Ai'e. yang penting. doa. doa yang berterusan. Aku tahu ko kuat."

"Fizz.."

"dah jom pergi surau. sahut seruan Ilahi, Allah rindu nak dengar rintihan ko. Allah rindu beb."

***

Seminggu kemudian.

bzzz. bzzz. 

"Farah Aina Sanusi. aku rasa aku dah buat keputusan yang terbaik. aku akan stop contact ko lepas ni. aku tak janji. tapi aku akan cuba yang terbaik. buat masa ni, aku harap ko kuat dan tabah nak hadap dunia ni. lepas ni dah takde aku untuk ingatkan ko dhuha. sila paham sendiri. lepas ni tolong, behave attitude. aku mintak maaf sebab pernah buai hati ko. dan aku maafkan ko sebab pernah buai hati aku. hati ni masih tak rela. tapi in order to achieve mardhatillah. aku buat keputusan ni. jangan salah faham. aku tak benci ko. aku nak, kita jaga. sesama menjaga. aku taknak kita terus hipokrit. senang buat apa saja atas nama 'cinta lillah'. aku nak jaga cinta ni. sebab aku nak Allah redha cinta yang aku bina. insha Allah, kalau berjodoh. aku sendiri akan jumpa wali ko. ya salam. jaga hati. jaga iman."

Whatsapp yang baru diterima dibaca sebaik sahaja sudah melipat kain solat. Kaki disila dan bersandar di satu sudut masjid. Airmata bercucuran. Tak mampu nak gambarkan apa rasa saat ini.

Sakit.
Gembira.
Berbaur rasa.

'Allah makbulkan doa aku.. tapi.. ya Allah.. sakit.' air mata deras mengalir.

Sneakers hitam disarung ke kaki sambil kepala menengadah langit. Langit mendung. Semendung hati. Air mata tak habis habis menuruni pipi. Seakan ingin meluahkan segala isi rasa yang ada. Gadis berbaju kurung biru laut memulakan langkah dengan lafaz yang mulia. Bismillahirrahmanirrahim. Setiap derapan kaki menandakan dia kini sudah tekad. Mahu melupakan setiap apa yang pernah terjadi. Demi cinta yang suci. Demi cinta Allah yang hakiki.

***

Ikhtilat tu, bukan hanya dengan orang yang kita suka. tapi dengan semua ajnabi.
Jaga hati.
Belum sampai masa.
Ambil yang baik. Tinggal yang buruk. Ya salam.
Allah is watching. Malaikat is writing. Keep calm and smile..

---

Perkongsian sahabat dari wasap.


Semoga beroleh manfaat^^
Like if you like, do comment too~

Adab Menuntut Ilmu (6)

07091435H
Bismillah,
Assalamualaikum W.B.T.

6-Tawadhu', Ketenangan dan Melenyapkan Kesombongan dan Takabbur

Umar bin Khattab r.a. berkata:
"Tuntutlah ilmu, pelajarilah bahawa bagi ilmu itu ada ketenangan dan harga diri, rendah dirilah kepada orang yang mengajarimu maka akan merendah diri pula kepadamu orang-orang yang kalian ajari, janganlah kalian menjadi ulama yang otoriter, tidak akan kukuh ilmu kalian bersama dengan kejahilan kalian."

Imam Malik menulis kepada Ar-Rasyid:
"Apabila engkau telah mengetahui suatu ilmu, maka hendaknya terlihat padamu : pengaruhnya, ketenangan kerananya, keindahannya dan kehormatannya serta kemurahan hati yang dilahirkannya."

Al Imam Asy-Syafi'i berkata:
"Tidaklah seseorang menuntut ilmu agama ini dengan kekuasaan dan kedudukan dirinya lalu berhasil mendapatkannya, akan tetapi barangsiapa yang mencarinya dengan merendahkan diri dan kesempitan hidup serta menjadi pelayan ulama maka dia akan berhasil mendapatkan apa yang dia cari."


Semoga beroleh manfaat^^
Like if you like, do comment too~

Hafazan Anda, Tanggungjawab Anda

06081435H
Bismillah,
Assalamualaikum W.B.T.

Sebelum ini pernah post berkenaan Tips Menghafal al-Quran. InsyaaAllah kali ini akan berkongsi berkenaan cara untuk mengekalkan hafazan.

Bila fikir-fikir, cuma satu je kata kuncinya, MENGULANG.

Syeikh Sudais, apabila ditanya bagaimana beliau boleh mengekalkan hafazan, apa jawabnya?
Jawabnya, MUROJA'AH. (mengulang).

Salah seorang guru tasmi' ana (ustaz Said Ismail) pernah menyebut, nak hafaz Quran, ada 3 syarat:
  1. Bersungguh
  2. Disiplin
  3. Ikut syariat
"Awak nak menghafaz, tak semestinya kena bijak. Tapi dengan awak menghafaz Quran, awak melatih diri awak untuk senang menghafal dalam pelajaran juga. Saya dulu menghafaz atas kubur. Sebab nak fokus, dalam masjid ramai sangat orang...kawan-kawan saya semua menghafaz dalam tu. Mengulang jangan tinggal. Kena ngulang sokmo. Nak tinggal Quran pun, kena slow-slow. Jangan mendadak. Mula-mula, setiap hari mengulang, lepas tu, seminggu sekali, lepas tu, 2 minggu sekali, lepas tu, sebulan sekali...contoh je. Itu pun, lepas awak tinggal, jarak mengulang yang paling maximum, tahap paling malas, setiap 6 bulan, kena mengulang sekali. Lebih daripada tu saya tak jamin awak boleh ingat."

Post kali ni, nak stresskan point no. 2, berkenaan DISIPLIN.

Dari Ibnu Umar r.a: bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:
"Perumpamaan orang yang hapal Al Quran adalah seperti pemilik unta yang terikat, jika ia terus menjaganya maka ia dapat terus memegangnya, dan jika ia lepaskan maka ia akan segera hilang." Hadits diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.

Dan Muslim menambah dalam riwayatnya:
"Jika ia menjaganya, dan membacanya pada malam dan siang hari, maka ia dapat terus mengingatnya, sedangkan jika tidak, maka ia akan melupakannya."
[Al Lu’lu wa al Marjan (452). Juga Al Muntaqa min at Targhib wa at Tarhib, dan hadits (794)]
Rujukan: Menghafal Al-Quran oleh Yusof Qardhawi [PDF]

My current guru tasmi' (Dr. Nur Hafizi Yusof) said,
"Awak patutnya kena mengulang at least 5 juzu' sehari. 1 juzu' setiap kali waktu solat. (pergh!!) Selalu lah dengar radio, bacaan-bacaan ayat Quran. Biar lekat, sebati dalam diri awak ayat Quran. Ibaratnya awak sokmo berkepit dengan kawan baik awak...mesti awak kenal sangat dia. Tanyalah apa-apa pun pasal dia, tau belaka. Sama lah macam Quran. Nak tinggal Quran pun, kena slow-slow. Eh, bukan tinggal Quran, maksudnya, kekerapan mengulang tu. Nak kuatkan hafazan, sambil awak berjalan, sambil awak buat kerja lain, mengulang. Memang payah sebab kena fokus, tapi kalau awak boleh ingat hafazan awak time buat benda lain, insyaaAllah lekatlah dalam diri awak."


Katanya...bacaan masyayikh yang dianjurkan untuk kami dengar:
  • Syeikh al-Qurra' Khalil Husori sangat bagus untuk teliti sifat dan makhraj huruf.
  • Sidiq Minsyawi dan Huzaifi pun boleh dijadikan bacaan contoh dari segi tajwid.

Batch ana yang ambil kursus elektif hifzul quran, ada 9 orang. Itu pun dulu, Allah uji masa buat keputusan nak masuk. 4 orang daripadanya hafiz (3) dan hafizah (1). Bila ditanya kepada salah seorang daripada mereka, berapa banyak beliau mengulang dalam sehari, jawabnya at least 2 juzu'. Konsisten daripada beliau sekolah sampai sekarang. Lepas maghrib mengulang. Lepas Isya' mengulang. Sebelum tidur mengulang, sampai tidur. Kagum. Kena set target and go. Untuk permulaan, mungkin 1 juzu' sehari. I need 1/2 an hour for 1 maqra'.

Lagi seorang sahabat ana, bila ditanya kepadanya, "Dulu, sekolah saya tak tekankan mengulang. Cuma aim nak habis 30 juzu' je." Kesemua guru tasmi' ana pun sebenarnya lebih tekankan mengulang daripada menghafaz. Tapi 'kena' juga kalau lambat menghafaz. haha.

Masa reunion kecil-kecilan, ada seorang sahabat bertanya,
RA: Nti hafaz Quran lagi lah ye? Bestnya.
AA: Yang payah bukan nak menghafaz, tapi nak mengulang. Sebab rasa tak cukup disiplin lagi T_T
RA: At least nti dapat terus menghafaz walaupun dah keluar sekolah. Ingat lagi, nak tahun akhir, ana malas menghafaz.
AA: Tu lah. Hafaz dulu pun main-main. Bukan main-main gane, maksudnya, hafaz cukup syarat, asal lepas target. Sehari, cukup 6 baris, dah, cukup. Bila ingat balik, teruknya, rasa rugi tak nak pulun betul-betul.
*Sebenarnya, sempat sangat kalau nak luangkan masa untuk mengulang.


Walaupun begitu, bukan orang yang menghafaz satu Quran sahaja perlu mengulang hafazan. Bahkan setiap orang yang dah menghafaz walau sekadar juzu' amma (juzu' 30) atau hanya satu surah, tak kira banyak mana pun, tetap perlu mengulang. Ada seorang ukhti di universiti, merupakan alumni Al-Amin Gombak, sering mengulang hafazannya walaupun beliau dah drop subjek hifzul quran. Begitu juga kisahnya dengan allahyarham seorang senior di U ana. Bak kata ustaz ana, "Hafazan anda, tanggungjawab anda. Ingat menjadi suatu nikmat, lupa menjadi suatu beban."

"Dan Rasul (Muhammad) berkata: Ya Tuhanku, sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini diabaikan." [Q:25:30]

Boleh sangat kalau nak teruskan hafazan, asalkan ada orang boleh tolong dengar dan semak hafazan kita. Tak semestinya kena masuk apa-apa institusi hafazan baru boleh menghafaz. Syaratnya, disiplin. Letak target, sehari berapa ayat. Formula menghafaz, paling minima mungkin. Kaedah yang diajar di sekolah ana dulu begini, tetapkan 5 hari hafal ayat baru, 2 hari lagi buat ulangan.

1 hari = hafal 3 baris
1 minggu = 1 m/s
1 tahun = 2 juzu' (at least)
15 tahun = 30 juzu'

Berjaya menghabiskan hafazan 30 juzu' semata, bukanlah kejayaan sebenar. Kejayaan sebenar adalah apabila kita berjaya mengekalkan dan memelihara hafazan 30 juzu', di samping menghayati, mentadabbur serta mengamalkan apa yang terkandung dalam ayat-ayat al-Quran.

*5 juzu' berbaki. Harapnya laju sikit sem depan, sebab 3 dah hafaz time sekolah. Doakan kami.

Next time, masuk point nombor 3 pulak ye ;)

Ps. Tak tau nti berpuas hati tak dengan apa yang ana tulis. Cuma ini yang dapat ana susun buat kali ini ^.^


Semoga beroleh manfaat^^
Like if you like, do comment too~

Allah Tidak Mensia-siakanmu

27071435H
Bismillah,
Assalamualaikum W.B.T.

"Lalu Kami wahyukan kepada Nabi Musa: "Pukullah laut itu dengan tongkatmu". (Setelah dipukul) maka terbelahlah laut itu (kepada beberapa bahagian), lalu menjadilah air tiap-tiap bahagian yang terbelah itu terangkat seperti gunung yang besar." [Q:26:63]

Apa yang ingin dibincangkan di sini adalah pada ayat suruhan Allah kepada Nabi Musa agar memukul laut dengan menggunakan tongkatnya. Pukul. Tongkat. Senang je kan kalau nak dibandingkan dengan menukul paku. Pukul guna tongkat. Sekali pukulan, laut terbelah. Setiap belahan itu seperti gunung yang besar. Mengikut riwayat, terjadinya 12 lorong.

Padahal kalau Allah nak jadikan laut itu terbelah sendiri, boleh. Boleh sangat. Tapi kenapa Allah suruh Nabi Musa yang pukul guna tongkat dia? Allah nak ajar, suruh usaha dulu. Keputusannya, serah pada Allah.

Contoh lain lagi, kisah Maryam ketika hendak bersalin. Rasa sakitnya nak bersalin memaksa beliau bersandar pada pohon tamar dan sehingga beliau berkata:

"...alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang." [Q:19:23]

Pada saat-saat seperti itu, Allah menyuruhnya berusaha.

"Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak." [Q:19:25]

Weyh, pokok kurma tu bukanlah pokok kecik. Pokok kurma tu macam pokok kelapa sawit. Dengan keadaannya yang sarat mengandung lagi. Kalau ikut akal, tak logik nak buat gitu. Tapi Allah suruh juga usaha. Resultnya kemudian. Serah pada Allah.

Begitulah seharusnya sifat yang perlu ada pada setiap mukmin itu. Dan banyak lagi contoh-contoh lain yang boleh didapati dalam Al-Quran.

Buatlah apa pun cara untuk berdakwah kepada manusia menuju Allah. Usahalah. Apalah sangat kalau nak dibandingkan ujian kita dengan para nabi dan rasul. Rasul-rasul terdahulu berdakwah beratus tahun kot. Sahabat yang kena seksa teruk pun, nabi kata teruk lagi umat terdahulu kena. Ada nabi dan rasul yang dibunuh, digergaji... Allah. Kuatkanlah kami. Teguhkan kami di atas jalanMu. Jangan Engkau tapis kami dari jalan ini.



Berusahalah walau sekecil mana pun usahamu.

"...Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan..." [Q:3:195]

Walau lelah, walau payah, penat jerih, biar Allah dan Rasul menjadi saksi.

"Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan..." [Q:9:105]

Never give up.

"...Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir." [Q:12:87]


Semoga beroleh manfaat^^
Like if you like, do comment too~

Hari Murobbi SMIAAK

23071435H
Bismillah,
Assalamualaikum W.B.T.

[Perkongsian Hari Guru Al-Amin]


Video #LUAHAN ini ditayangkan ketika Sambutan Hari Guru 2014 di SMI Al Amin Kemaman baru-baru ini. Ia Merupakan kompilasi pandangan dan luahan para pelajar mengenai apa yang mereka rasa mengenai Muallim & Muallimah yang mendidik mereka selama ini.

Ikuti pandangan mereka :)


Terbaca komen seorang akhawat kat KT: Sebak betul sampai part sorang student bagi ucapan "kami akan menjadi orang yang akan menarik muallim/muallimah ke syurga nanti inshaallah." Jeles tengok kemantapan tarbiyyah dan akhlak mereka. Semat cita-cita nak hantar lil caliph di Al-amin jugak 1 hari nanti. ameen!


Dan teringat kata-kata seorang makcik/akhawat ketika usrah gabungan murobbi dulu:
"Kita kena bersedia untuk berubah. Jangan kita fikir, semua yang berlaku adalah kebetulan kerana semuanya telah ditetapkan oleh Allah. Jangan kita fikir, kita kena usrah sebab kita 'tercampak' dekat al-Amin. Sedangkan usrah merupakan wasilah dakwah kita. Ingatlah sahabat-sahabat sekalian, ada dua syarat untuk jadi umat yang terbaik, pertama, amar ma'aruf dan keduanya nahi mungkar. Sahabat-sahabat yang mengajar di Al-Amin, tadika Nurul Iman, antunna semua beruntung sebenarnya. Saya sendiri pun mengajar di sekolah kerajaan, saya rasa ada 'bahagian' yang saya tak dapat, tapi antunna semua dapat. Terima kasih kerana mendidik anak-anak saya. Teruskan mendidik anak-anak di sini. Ada kawan saya, dia hantar anak dia di Al-Amin, baru darjah 1. Dia cerita, masa nak sarapan pagi, anak dia kata, Mak, mak dah solat ke? Tunggu saya sekejap eh, saya nak solat dulu, baru sarapan. Subhanallah, anak-anak beginilah yang kita ingin lahirkan. Besarnya pahala muallim muallimah yang mendidik mereka. Kita pun ada ramai pengganti kita untuk generasi yang akan datang, meneruskan dakwah kita. Tu, Marsha, Syaza, dari tadika bersama-sama dengan tarbiyyah kita. Nanti diorang teruskan MLMI, cari 'anak-anak baru', 5 orang pun jadilah untuk permulaan."


Semoga beroleh manfaat^^
Like if you like, do comment too~

Adab Menuntut Ilmu (5)

22071435H
Bismillah,
Assalamualaikum W.B.T.

5-Tidak Patut Rasa Malu yang Ada Pada Seorang Penuntut Ilmu, Mencegahnya untuk Bertanya

Oleh kerana itu sebahagian ulama' salaf berkata:
"Tidak akan pernah mendapatkan ilmu, orang yang pemalu dan tidak pula orang yang sombong."

Sifat sombong yang ada pada dirinya, membawanya untuk ta'ajub, kagum pada dirinya sendiri, dan tetap dalam kejahilannya. Demikian pula sifat malu membawanya untuk tidak menuntut ilmu atau tidak mengambil faedah dari orang-orang yang memiliki ilmu, sehingga tetap berada dalam kejahilannya.

Al-Imam Muslim meriwayatkan dalam kitab shohihnya, dari Zainab binti Abu Salamah, dari Ummu Salamah, beliau berkata:
"Ummu Sulaim pernah datang kepada Nabi s.a.w., lalu bertanya, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah tidak malu dari kebenaran, maka apakah bagi wanita itu ada kewajiban mandi apabila ia bermimpi?” Rasulullah s.a.w. menjawab, “Ya, apabila ia melihat air (mani).” Berkata Ummu Salamah, “Wahai Rasulullah, apakah wanita itu bermimpi?” Beliau menjawab, “Mudah-mudahan kedua tanganmu penuh berkah, maka dengan apakah anaknya menyerupai ibunya?”"
[Sohih Muslim (313)]

Perhatikan ini! Ibnu Abbas r.'anhuma, dengan semangatnya untuk mulazamah (sentiasa belajar) bersama Nabi s.a.w., sebelum beliau wafat, serta do'a Nabi s.a.w. untuknya, dia tetap bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu dari fuqaha' dari kalangan sahabat setelah wafatnya Nabi s.a.w. -Berdasarkan riwayat- dari Ikrimah, dari Ibnu Abbas r.'anhuma, beliau berkata:

"Ketika Rasulullah s.a.w. telah wafat, saya berkata kepada salah seorang dari kaum Anshor: 'Mari kita bertanya kepada para sahabat Nabi s.a.w., jumlah mereka sekarang banyak.'
Ibnu Abbas berkata, lalu orang tadi berkata: 'Aneh sekali kamu ini, Tidakkah kamu tahu bahawa justeru merekalah yang memerlukan kamu.'
Ibnu Abbas berkata: 'Maka orang tersebut membiarkan panggilanku, sementara saya selalu bertanya dan bertanya. Jika saya memperoleh maklumat bahawa ada suatu hadits pada seseorang, maka segera saya mendatangi pintu rumahnya.'
Kata Ibnu'Abbas : '-Suatu saat- pernah saya menjadikan selendangku untuk bantal di depan pintu rumahnya, angin berhembus sampai debu mengenai wajahku, kemudian ia keluar dan melihatku' , lalu berkata:
'Wahai anak bapa saudara Rasulullah s.a.w., apa yang membuatmu datang (kesini)? Mengapa tidak kamu utus seseorang lalu saya yang menemuimu?'.
Saya menjawab: 'Tidak, saya lebih layak untuk menemuimu lalu saya menanyakannya tentang suatu hadits. 'Orang Anshor (yang pernah saya ajak) tersebut masih hidup hingga ia melihatku dalam keadaan orang banyak berkumpul di sekitarku untuk bertanya (menggali ilmu)', maka orang tersebut berkata:
'Pemuda ini memang lebih cerdas dibandingkan saya'."
[Al-Ishobah Karya Ibnu Hajar, Biografi Abdullah bin Abbas (4/90)]


Semoga beroleh manfaat^^
Like if you like, do comment too~

Adab Menuntut Ilmu (4)

17071435H
Bismillah,
Assalamualaikum W.B.T.

4-Sabar dan Tabah

Jalan menuntut ilmu itu tidak dihampar dan ditaburi dengan bunga dan kesenangan, akan tetapi memerlukan kesabaran dan keyakinan serta tekad yang tak mudah bengkok, kerana jalannya panjang, sementara nafsu sentiasa mengajak supaya bosan, mahu berlalu dengan cepat, tenang, santai dan istirehat.

Apabila seorang penuntut ilmu menuruti keinginan nafsunya tentu akan mengiringinya kepada penderitaan dan penyesalan, seorang penyair berkata:
"Dan tidaklah nafsu itu kecuali tergantung sejauh mana pemiliknya menempatkannya,
Jika nafsu dibuat serakah maka akan segar jika tidak maka dia akan sembunyi dan tertahan."

Seorang penyair yang lain berkata:
"Dan nafsu itu seperti anak kecil jika engkau membiarkannya maka dia akan menjadi besar,
dalam keadaan tetap senang menyusu, namun jika engkau memisahkannya maka dia akan berhenti menyusu."

Lapangan sabar yang sangat luas adalah sabar dalam menuntut ilmu. Tidak ada satu jalan pun untuk menuntut ilmu kecuali memerlukan kesabaran untuk menempuhnya dan kesabaran akan menerangi jalan bagi penuntut ilmu. Sabar merupakan bekal yang sangat diperlukan, demikian pula akhlak yang mulia tetap harus ada dan menjadi perhiasan bagi penuntut ilmu.

Penuntut ilmu perlu bersabar dalam menghadapi sulitnya perjalanan menemui para ulama' (masyaikh), sabar dengan lamanya waktu menetap di sisi mereka, sabar dalam menjaga adab sopan santun bersamanya dan sabar dalam mengulangkaji pelajaran serta ketika menimba ilmu.


Dalam kisah Nabi Musa dan Khidr, terjadi dialog antara Nabi Allah Musa dan Khidr Alaihimassalam, Allah Subhanahu wata'ala berfirman dalam Surah Al Kahfi :
"Musa berkata kepada Khidhr: "Bolehkah aku mengikutimu supaya kamu mengajarkan kepadaku ilmu yang benar di antara ilmu-ilmu yang telah diajarkan kepadamu?" Dia menjawab: "Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sanggup sabar bersamaku. Dan bagaimana kamu dapat sabar atas sesuatu, yang kamu belum mempunyai pengetahuan yang cukup tentang hal itu?" Musa berkata: "InsyaaAllah kamu akan mendapati aku sebagai seorang yang sabar, dan aku tidak akan menentangmu dalam sesuatu urusan pun"." [Q:18:66-69]

Demikian pula bagi seorang guru sebaiknya berhias dengan keindahan sabar bersama murid-muridnya. Dia hendaklah berlapang dada terhadap pertanyaan murid-muridnya, meringankan beban murid-muridnya, lemah lembut dan sayang kepada mereka, memberikan kemudahan-kemudahan kepada mereka dalam memperoleh ilmu.

Semua ini sebagaimana yang diajar oleh Nabi kita dan Muallim kita serta Kekasih kita, Muhammad s.a.w., yang telah dipuji oleh Tuhannya dengan Firman-Nya :
"Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya." [Q:3:159]

Selamat Hari Murobbi :)


Semoga beroleh manfaat^^
Like if you like, do comment too~

Cinta PALSU

12071435H
Bismillah,
Assalamualaikum W.B.T.

Pernah mengikuti program tarbiyyah sekolah untuk adik-adik banat form 1 dan sebilangan form 2. Seorang daripada 'produk MaUTaDi' (nama program tersebut) memberi pengisian pada hari kedua. Satu point yang disebutnya,
"Orang yang mengatakan dia cintakan mak ayah dia, tetapi dalam masa yang sama, dia melakukan dosa, tinggalkan yang wajib, cinta dia cinta yang palsu. PALSU."

Membuatkan diri ini terfikir...

Tak faham? Ana bawa satu lagi perbualan antara si abang (9 tahun) dengan si adik (7 tahun).

"Awak sayang baba dengan mama tak?"
"Mestilah sayang." Jawab si adik, kepelikan dengan soalan yang ditimbulkan.
"Nak tolong diorang tak?"
"Nak, nak." Jawab dengan bersungguh sebab tiba-tiba terasa macam anak solehah.
"Kalau sayang...jangan buat benda tak baik, benda wajib kena buat. Senang kata, jangan buat dosa. Nanti, diorang yang tanggung dosa kita (buat masa sekarang). Kesian mama dengan baba."

Lebih faham?

Seandainya benar-benar sayang kepada mereka, pasti mereka cuba sedaya upaya untuk mengelakkan daripada membuat maksiat. Itulah erti sayang yang sebenar dan ana kira, ini adalah tahap yang paling rendah. Sayang sesama makhluk, tidak kira, sama ada ibu bapa, adik-beradik, kaum kerabat, sahabat, bahkan sesiapa sahaja. Lebih baik apabila kita pula menyeru mereka kepada kebaikan.

Tahap yang lebih tinggi, sudah semestinya cinta kepada Allah dan kemudian kepada Rasul.

"Katakanlah: 'Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.' Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." [Q:3:31]

Sesungguhnya cinta kepada Allah itu bukan hanya pengakuan mulut dan bukan pula khayalan dalam angan-angan. Tetapi, ia harus disertai dengan keinginan dan kesungguhan untuk mengikuti Rasulullah, melaksanakan petunjuknya, dan melaksanakan manhajNya (peraturan/metode) dalam kehidupan. Iman bukan sekadar kalimah yang terucapkan, bukan sekadar perasaan yang tergetar dalam hati, dan bukan sekadar simbol-simbol yang dipapar. Tetapi, iman adalah taat kepada Allah dan RasulNya, dan melaksanakan manhaj Allah yang dibawa oleh Rasul.

Imam Ibnu Katsir pula menafsirkan ayat tersebut dengan mengatakan, ayat yang mulia ini menghukumi atas setiap orang yang mengakui cinta kepada Allah, tetapi tidak mengikuti jalan hidup yang diajarkan oleh Nabi Muhammad. Maka, orang yang seperti itu adalah berdusta, sehingga dia mengikuti syariat baginda dan agama yang dibawanya dalam semua perkataan dan perbuatannya.

"Katakanlah: 'Taatilah Allah dan RasulNya. Jika kamu berpaling, maka sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang kafir." [Q:3:32]

Imam Ibnu Katsir berkata, "Maksudnya, jika kamu menyelisihi perintahNya, maka ayat ini menunjukkan bahawa menyelisihi Allah (dan RasulNya) dalam menempuh jalan hidup adalah kufur. Allah tidak menyukai orang yang bersifat demikian, meskipun dia mengaku dan menyatakan dirinya cinta kepadaNya.

Dua ayat di atas merupakan sebuah ayat pendek yang menetapkan hakikat iman dan hakikat agama, serta menetapkan perbezaan yang pasti antara iman dan kufur dengan sejelas-jelasnya dan tidak mengandungi kesamaran lagi.


Perlu sentiasa muhasabah dan disertai dengan tindakan.

Kadangkala hairan dengan manusia yang mengakui sayang kepada ibu bapa, cinta kepada Allah dan rasul, tetapi tidak jaga solat, aurat tidak ditutup, pergaulan dengan ajnabi tidak dijaga dll. Kemudian, sibuk nak mencari 'imam' untuk membimbingnya berubah atas nama cinta kepada bakal suami. Apakah? Banyak lagi alternatif lain untuk berubah. Bahkan dalam pencarian 'imam' itu, ramai yang menggunakan jalan-jalan yang salah. Selama ni tidak sayangkah kepada ayah dan saudara lelaki yang akan turut menerima natijah atas perbuatan mereka? Dan sekiranya benar-benar cinta Allah, perlukah tunggu bakal suami atau bakal isteri untuk berubah? Hmm...berfikir. Ramai yang suka membuat sesuatu dengan nama islamik.

Kadangkala pelik juga bilamana orang lebih sayang orang lain berbanding keluarga sendiri.

Ps. Nak menaip juga bila tengok orang semua update pasal hari ibu.


Semoga beroleh manfaat^^
Like if you like, do comment too~

Adab Menuntut Ilmu (3)

05071435H
Bismillah,
Assalamualaikum W.B.T.

3-Mengamalkan Ilmu

Apabila ilmu tidak diterjemahkan dalam bentuk amal perbuatan maka tentu tidak ada faedahnya. Oleh kerana itu wajib bagi penuntut ilmu untuk bersungguh-sungguh dalam beramal sebagaimana dia bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu. Dialah manusia yang paling layak untuk memetik buah ilmunya. Allah memuji di dalam kitabNya, orang-orang yang mengamalkan ilmunya, Allah berfirman:

"Dan orang-orang yang menjauhi thaghut (iaitu) tidak menyembahnya dan kembali kepada Allah, bagi mereka berita gembira; sebab itu sampaikanlah berita itu kepada hamba-hambaKu, yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya. Mereka itulah orang-orang yang telah diberi Allah petunjuk dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal." [Q:39:17&18]

Sebaliknya Allah mencela, orang-orang yang tidak mengambil manfaat dari ilmu yang dibawanya, Allah  mengumpamakan mereka dengan keldai yang memikul buku-buku tebal namun tidak mengetahui berapa harganya apatah lagi mutiara-mutiara ilmu yang terkandung didalamnya. Allah berfirman dalam surah Al-Jumu'ah:

"Perumpamaan orang-orang yang dipikulkan kepadanya Taurat kemudian mereka tiada memikulnya adalah seperti keldai yang membawa kitab-kitab yang tebal. Amatlah buruknya perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu. Dan Allah tiada memberi petunjuk kepada kaum yang zalim." [Q:62:5]

Dari Usamah bin Zaid r.a, beliau berkata : Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:
"Akan didatangkan seorang lelaki pada hari kiamat lalu dia dilemparkan ke dalam neraka. Usus-ususnya terburai di dalam neraka lalu dia berpusing seperti keldai berpusing dengan pengisarnya. Maka penghuni neraka berkumpul di sekitarnya lalu mereka bertanya, “Wahai fulan, ada apa denganmu? Bukankah kamu dahulu yang memerintahkan kami kepada yang ma’ruf dan yang melarang kami dari kemungkaran?” Dia menjawab, “Memang betul, aku dulu memerintahkan kalian kepada yang ma’ruf tapi aku sendiri tidak mengerjakannya. Dan aku dulu melarang kalian dari kemungkaran tapi aku sendiri yang mengerjakannya."
[Sohih Al-Bukhari (3094) dan Muslim (2989)]


Ali bin Abi Tholib r.a berkata :
"Ilmu itu berteriak memanggil amal, apabila amal menjawab panggilannya (maka ilmu akan tetap) jika tidak maka ilmu akan pergi."

Al Imam Asy-Syafi'i Rahimahullah berkata :
"Ilmu itu bukan sekadar hafalan, tapi ilmu itu adalah yang bermanfaat."

Sebagian ulama salaf terdahulu berkata :
"Wahai para pembawa ilmu, beramallah kalian! Sesungguhnya orang yang berilmu itu adalah orang yang mengamalkan ilmunya dan amalnya sesuai dengan ilmunya. Suatu saat nanti akan ada orang-orang yang membawa ilmu namun tidak melewati kerongkongannya, amalnya bercanggah dengan ilmunya, berbeza keadaannya ketika sendirian dan ketika di khalayak ramai, mereka duduk di halaqoh saling berbangga antara satu sama lain, sehingga ada orang yang marah kepada orang lain yang sering duduk bersamanya, ketika orang tersebut duduk dalam majlis dengan orang lain dan meninggalkan majlisnya. Mereka adalah orang-orang yang amal perbuatannya di dalam majlis-majlisnya tersebut, tidak akan naik kepada Allah Ta'ala."

Di antara bentuk bermanfaatnya ilmu seseorang adalah sentiasa bersifat muroqabah (meyakini dan menyedari bahawa Allah sentiasa melihat kita) dalam sepi dan ramai, dan sentiasa merasa takut kepada Allah.

Al Imam Ahmad Rahimahullah berkata :
"Prinsip dasar ilmu itu adalah rasa takut (Al Khosy-yah)"

Berkata Al Imam Azzuhri Rahimahullah :
"Sesungguhnya ilmu itu punya banyak bencana (yang boleh menimpanya), di antara bencananya adalah tidak mengamalkannya sehingga ilmu itu hilang, termasuk bencana ilmu adalah lupa dan juga termasuk bencana ilmu adalah dusta padanya dan ini merupakan seburuk-buruk bencana ilmu."

Sufyan Ats-Tsauri pernah ditanya: Mana yang lebih engkau senangi? Menuntut ilmu atau mengamalkan ilmu? Beliau menjawab:
"Sesungguhnya ilmu itu dicari untuk diamalkan, makanya jangan berhenti menuntut ilmu dengan alasan mahu mengamalkan ilmu (yang sudah ada), demikian pula jangan berhenti beramal dengan alasan mahu menuntut ilmu."


Semoga beroleh manfaat^^
Like if you like, do comment too~

Adab Menuntut Ilmu (2)

21061435H
Bismillah,
Assalamualaikum W.B.T.

2-Bertaqwa Kepada Allah

"Apa itu taqwa?" tanya Umar al-Khattab kepada Ubai bin Ka’ab.

"Pernahkah kamu meyusuri jalan yang penuh berduri?" balas Ubai dengan suatu pertanyaan yang menduga.

"Pernah." jawab Umar.

"Apa yang kamu lakukan?" pintas Ubai.

"Aku angkat sedikit pakaianku, dan melangkah dengan hati-hati," jawab Umar lagi.

"Itulah taqwa." simpul Ubai bin Ka’ab terhadap soalan Umar al-Khattab tentang taqwa.


Allah telah berfirman: "Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam." [Q:3:102]

Para ulama' adalah manusia yang paling mengenal Allah dan paling bertaqwa kepadaNya, Allah berfirman:
"Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya, hanyalah ulama'. Sesungguhnya Allah Maha perkasa lagi Maha Pengampun." [Q:35:28]

Dalam menuntut ilmu, jangan lupa soal taqwa. Orang yang 'alim tak semestinya muttaqi (bertaqwa), dan orang yang muttaqi tak semestinya orang yang 'alim.

Dengan taqwa, seorang 'alim akan bertambah ilmunya dan dengan ilmu orang yang bertaqwa akan bertambah ketaqwaannya, Allah berfirman:
"Dan bertaqwalah kepada Allah; Allah mengajarmu; dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." [Q:2:282]

Allah berfirman:
"Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan ke luar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya." [Q:65:2&3]

Rezeki tidak semestinya duit. Ilmu juga merupakan rezeki dan rezeki yang paling agung adalah ilmu yang bermanfaat.

Taqwa adalah himpunan seluruh kebaikan dan wasiat Allah kepada umat terdahulu dan kemudian, Allah berfirman:
"Dan kepunyaan Allah-lah apa yang di langit dan yang di bumi, dan sungguh Kami telah memerintahkan kepada orang-orang yang diberi kitab sebelum kamu dan (juga) kepada kamu; bertaqwalah kepada Allah. Tetapi jika kamu kafir, maka (ketahuilah), sesungguhnya apa yang di langit dan apa yang di bumi hanyalah kepunyaan Allah dan Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji. "[Q:4:131]

Ada Tuhan kisah kalau kamu kufur? Tak. Tuhan tak kisah pun. Apa yang ada di langit, apa yang ada di bumi, semua milik Allah. Kamu nak kufur, kamu nak beriman, tak ada kesan pun kepadaNya. Allah Maha Kaya dan Maha Terpuji.

Allah berfirman dalam surah Al-Anfal :
"Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan kepadamu furqaan dan menghapuskan segala kesalahan-kesalahanmu dan mengampuni (dosa-dosa) mu. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar." [Q:8:29]

Dia akan memberikan kepadamu furqaan iaitu memberikan kepadamu sesuatu yang boleh membezakan antara yang haq dan batil, antara yang sihat dan sakit, antara yang bermanfaat dan sia-sia, semua itu hanya ada dengan adanya cahaya dan timbangan ilmu, pelita dan ukuran ilmu. Jadi ilmu itu adalah buah dari buah-buah taqwa, taqwa merupakan jalan untuk memperoleh ilmu, dan ilmu itu mengangkat darjat pemiliknya ke darjat ma'rifatullah yang paling tinggi serta takut kepada Allah. Oleh kerana itu diwariskan dari Imam Syafi'i Rahimahullah bahawa beliau berkata:
"Aku adukan kepada Waki' tentang buruknya hafalanku, maka dia membimbingku agar meninggalkan maksiat.
Dan memberitahuku bahawasanya ilmu itu adalah cahaya dan cahaya Allah tidak akan diberikan kepada pelaku maksiat."

Perkara yang pertama sekali masuk dalam bentuk-bentuk taqwa adalah menegakkan syiar-syiar Islam dan hukum-hukum Islam yang zahir. Antaranya adalah menjaga solat lima waktu di masjid, menyebarkan salam kepada orang-orang tertentu dan kepada kaum muslimin secara umum, amar ma'ruf nahi mungkar, menampakkan sunnah, memadamkan bid'ah, dan menampakkan hukum-hukum Islam lainnya agar dia dijadikan ikutan dan contoh serta terjaga kehormatannya, tidak dilecehkan dan tidak memunculkan persangkaan buruk.

Termasuk juga dalam bentuk ketaqwaan adalah menjaga syariat-syariat yang dianjurkan baik dalam bentuk ucapan lisan atau perbuatan anggota badan: Antaranya adalah membaca Al-Qur'an Al-Karim dengan tafakkur dan tadabbur; memperbanyakkan zikir dengan hati dan lisan; sentiasa berdoa dengan penuh ketundukan disertai dengan keikhlasan dan kejujuran; perhatian terhadap ibadah-ibadah sunnah sama ada solat, puasa, sedekah dan haji (umrah) ke Baitullah; serta berselawat kepada Nabi s.a.w, dan ibadah-ibadah lainnya yang memiliki keutamaan-keutamaan sama ada dalam bentuk perkataan ataupun perbuatan yang dengannya diharapkan semakin bertambahnya ilmu.


Perkongsian akhi:
Tertera di notice board kuliah syariah:
(Terjemahan:)

"Para pelajar yang dihormati sekalian: Ketahuilah yang seluruh sijil kelulusan di dunia tiada maknanya kalau Rasulullah s.a.w. berlepas tangan darimu (Bak kata orang Melayu, tidak mengaku umat).

Sabda Baginda: "Barangsiapa yang menipu (dalam bermuamalah) maka bukanlah dari golongan kami."

Oh, minggu exam rupanya. Ya putting things in perspective. Bukti cinta Rasulullah. Bukti kita beriman dengan hari akhirat. Bukti kita benar mengikut baginda, dan kita tak akan menjual identiti sebagai umat baginda demi kepentingan duniawi!


Semoga beroleh manfaat^^
Like if you like, do comment too~

Adab Menuntut Ilmu (1)

20061435H
Bismillah,
Assalamualaikum W.B.T.

Lama tak post di sini. Hari tu janji nak mula balik berblogging dalam bulan 4 ni. Maka ini sedikit perkongsian daripada apa yang telah dipelajari dalam subjek ulum al-hadits. Mungkin semua ini perkara basic, dan ramai memandang enteng terhadapnya. Namun, ku kira semua ini amat penting untuk diamalkan.


1-Niat Ikhlas Kerana Allah

Menuntut ilmu merupakan ketaatan dan ibadah, sementara ikhlas hanya kerana Allah itu wajib ada pada seluruh bentuk ibadah dan ketaatan lainnya. Allah Ta'ala berfirman:
"Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar." [Q:98:5]

Inilah asas-asas agama Allah secara umumnya; ibadah kepada Allah yang Esa, mengikhlaskan ketaatan kepada Allah, menjauhi syirik, mendirikan solat dan menunaikan zakat itulah agama yang benar. Pendeknya, ciri agama yang benar ialah aqidah yang bersih dalam hati. Dan ibadah yang ikhlas kepada Allah adalah juru bahasa yang menterjemahkan aqidah itu. Menunaikan zakat ialah membelanjakan harta untuk jalan Allah. Oleh itu, barangsiapa yang menegakkan asas-asas ini bererti dia telah menegakkan iman. [Tafsir Fi Zhilal]

Ikhlas dalam menuntut ilmu dengan erti mengharapkan keredhaan Allah. Sekiranya penuntut ilmu mengharapkan sijil atau kebaikan yang bersifat materialistik semata-mata, maka dia tidak dikatakan sebagai seorang yang ikhlas dalam menuntut ilmu.

Dari Abi Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. telah bersabda: "Barangsiapa yang mempelajari ilmu yang seharusnya ia niatkan untuk mengharap wajah (redha) Allah, namun ia niatkan untuk mendapatkan perhiasan dunia dengan ilmu tersebut, maka dia tidak akan mendapatkan 'urf Jannah' pada hari kiamat." iaitu bau syurga.
[Dikeluarkan oleh Ahmad (2/338), Abu Daud (3664), Ibn Majah (252), Hakim menilainya sohih (1/160), Nawawi dalam Riyaadh as-Solihiin]

Nabi s.a.w. telah menggalakkan kepada kita supaya ikhlas kerana Allah, sebagaimana yang disebut dalam hadits Umar muttafaq 'alaih:
"Sesungguhnya setiap amalan adalah dengan niat dan sesungguhnya bagi setiap orang itu apa yang telah diniatkannya..."
[Sohih Bukhari (1), Sohih Muslim (1907)]

Para ulama' sangat mengambil berat tentang hadits ini dan menjadikannya sebagai pembuka dalam kitab mereka kerana hadits tersebut diperlukan secara umum dalam setiap perkara. Sebagaimana yang telah dikatakan oleh Imam al-Khattabi, perhatikan Imam Bukhari, beliau memulakan kitab sohihnya dengan hadits ini. Maka para ulama' berkata: "Ia ibarat sebagai muqaddimah, kerana Bukhari tidak menulis kitabnya dengan sebuah muqaddimah. Tujuannya untuk memberi peringatan kepada para penuntut ilmu agar memperbetulkan niat, mengharapkan keredhaan Allah. Metode ini diikuti oleh Imam Nawawi, Imam Baghawi dalam beberapa kitab mereka. Begitu juga ulama'-ulama lain.

Abdul Rahman bin Mahdi berkata: "Sekiranya saya menulis sebuah kitab tentu saya mulakan pada awal setiap kitab tersebut dengan hadits Umar ini."

Imam Ahmad berkata: "Tidak ada sesuatu yang mengungguli ilmu jika niatnya benar." Murid-muridnya bertanya: "Bagaimana orang yang benar niatnya itu?" Beliau berkata: "Dia berniat menghilangkan kejahilan dari dirinya dan orang lain."

Ibnu Jama'ah Al Kinani berkata setelah menjelaskan keutamaan ilmu:
"Ketahuilah, bahawa semua hal yang disebutkan dari keutamaan ilmu dan ulama', hanya terbatas bagi para ulama', yang mengamalkan ilmunya, yang sentiasa melakukan kebaikan serta bertaqwa, mereka yang hanya mengharapkan wajah Allah yang Mulia, dan mengharapkan dekat denganNya di syurga yang penuh kenikmatan. Bukan bagi orang yang menuntut ilmu dengan niat yang buruk dan hati yang busuk atau kerana tujuan-tujuan duniawi berupa kedudukan, harta atau banyaknya pengikut dan murid."

Abu Yusuf berkata:
"Jadikanlah Allah Ta'ala sebagai matlamat dalam menuntut ilmu kerana sesungguhnya aku tidak pernah duduk di dalam satu majlis yang aku berniat di dalamnya untuk tawadhu' kecuali aku tidak akan berdiri sehingga mengalahkan mereka, dan aku tidak pernah duduk di dalam satu majlis yang aku niatkan di dalamnya untuk mengalahkan mereka kecuali aku tidak berdiri sehingga aku terdedah dengan aib."


Kadangkala keikhlasan kita teruji. Contoh:

Situasi 1: Mula terdetik nak guna taktik agar markah tinggi

Ketika ustaz membuat kuiz secara online, pelbagai ragam pelajarnya.

P1: Rilek la, ustaz tak kata tak boleh tengok buku masa jawab. *gurau
AA: Ana, rilek sokmo (muka selalu bajet tenang). Hai, takkan nak tunggu ustaz kata gitu, nama pun kuiz.

P2: Masa menjawab 10 minit je? Aku dah lah tak habis lagi baca.
AA: Ha, nanti masa jawab, sibuk duk belek2 buku...tup tup...habis masa.
P2: Kau ni suka menakutkan aku bila aku nak buat jahat. *guraunya
AA: *tergelak. Aku kan. Sebab aku tak nak kau buat jahat.
P2: *tersengih


Situasi 2: Menyalahkan lecturer apabila ditegur

P1: Lecehlah lecturer ni, strict betul. Banyak dia komen assignment aku ni.
AA: Rileklah. Kau rasa kan, kalau dia tak tegur kesalahan kita sekarang, nanti mesti kita buat lagi walaupun dah sambung ke peringkat yang lebih tinggi. Kau lebih suka yang macam mana?
P1: Betul juga ek.
AA: Kita pandanglah dari sudut positif :)


Situasi 3: Study hanya sebelum test atau kuiz

Ustaz: Ok, kita buat test hari ni.
Pelajar: Ha? Mana boleh. Ustaz kata nak bagi slide dulu.
Ustaz: Jangan risau, soalan sahlan jiddan. Berapa orang pelajar perempuan?
AA: 20.
Pelajar: *kedengaran pelbagai bantahan*
"Aku nak teriak."
"Tak nak lah ustaz..."

Ana dan seorang lagi sahabat ana tersengih melihat gelagat mereka. Lantas sahabat ana berkata, "Apa yang korang tak nak, tak nak ni? Ustaz nak bagi nota lah."

Barulah masing-masing tersengih tersipu malu.

Ustaz kata time ustaz belajar kat Jordan, selalu ada ujian mengejut.

Pelajar: Aku nak jawab apa?
Dr.: Tenang, jawab sahaja apa yang kau mampu.


Manusia sering diuji. Keikhlasan kita sering diuji. Maka, hendaklah kita saling memperingatkan antara satu sama lain. Sahabat yang baik adalah sahabat yang menolak kita ke arah keimanan dan ketaqwaan.


Ada seorang ukhti pernah berkata,
Kita akan sedar
kita kehilangan sebuah keikhlasan dalam menimba ilmu,
...
Apabila kita lebih banyak membaca buku pada musim peperiksaan berbanding biasa.
Moga Allah kekalkan niat hati kita. 


Semoga beroleh manfaat^^
Like if you like, do comment too~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright © 2008-2017 Aisyah Ameelah ^_^: 2014
Design by a.a.ghariib